Mencari Titik Keseimbangan Antara Harga Barang, Gaji Minimum | UPM SCHOOL OF BUSINESS AND ECONOMICS
» NEWS » Mencari titik keseimbangan antara harga barang, gaji minimum

Mencari titik keseimbangan antara harga barang, gaji minimum

Oleh Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari
 

Tahun 2022 diharapkan menjadi tahun pemulihan sebenar ekonomi dan pasaran buruh bagi Malaysia. Mengikut anggaran awal, pertumbuhan ekonomi 2022 diramalkan berkembang sekitar 5.5 peratus hingga 6.5 peratus.

 

 

Dengan kadar ini, kadar pengangguran diunjurkan menurun kepada 4.0 peratus atau lebih rendah. Jika ini berlaku, kedudukan pekerjaan, pendapatan dan kuasa beli rakyat adalah lebih baik.

Adalah wajar untuk mengambil perhatian bahawa jangkaan ini dibuat berdasarkan pandangan bahawa tiada langkah kawalan pergerakan berskala besar pada 2022. Unjuran ini juga tidak mengambil kira gangguan bekalan yang memberi impak kepada turun naik pengeluaran dan seterusnya permintaan buruh.

Umpamanya, pada akhir 2021 dan sehingga kini negara berhadapan dengan masalah kenaikan harga ayam dan beberapa barang keperluan lain akibat daripada kekurangan bekalan bahan mentah dan pekerja.

Sebagai sebuah ekonomi yang kecil dan terbuka serta memandangkan sifat pemulihan yang tidak simetri antara negara, ketidaktentuan persekitaran ekonomi antarabangsa mempengaruhi ekonomi negara.

Pada masa kini, kekurangan bekalan bahan mentah dan pekerja adalah faktor utama yang mempengaruhi turun naik pengeluaran dan perkembangan pasaran buruh.

Kekejutan rantaian bekalan global yang sengit dan berpanjangan mewujudkan ketidaktentuan dalam iklim perniagaan yang akhirnya membawa kepada peningkatan harga barangan domestik.

Peningkatan harga barangan akibat daripada gangguan rantaian bekalan (bahan mentah dan pekerja) memberi impak berbeza kepada peniaga, ekonomi dan isi rumah.

Dari perspektif peniaga, kenaikan harga barang berkemungkinan tidak dapat dielak akibat daripada tekanan harga bahan mentah dan pertambahan permintaan yang tidak dapat diimbangi oleh kapasiti pengeluaran. Dalam hal ini, kenaikan harga dilakukan bagi memastikan kelangsungan perniagaan.

Dari perspektif ekonomi secara keseluruhan, peningkatan harga dalam jangka masa pendek dijangka meningkatkan pengeluaran yang seterusnya melonjakkan permintaan pekerja. Peningkatan permintaan pekerja dapat membantu mengurangkan kadar pengangguran.

Dari perspektif isi rumah, peningkatan harga memberi impak kepada kos sara hidup, terutama apabila peningkatan upah tidak seiring kenaikan harga dan selalunya peningkatan itu tidak diagihkan secara sama rata kepada semua kumpulan pekerja.

Kebiasaannya, impak peningkatan harga bersifat regresif, iaitu mereka yang berpendapatan rendah lebih terkesan akibat daripada kenaikan harga.

Berdasarkan situasi di atas, wajarkah kadar upah minimum dinaikkan? Kajian mendapati dalam jangka masa pendek peningkatan upah minimum cenderung untuk meningkatkan harga barangan (ini kes dalam keadaan ekonomi normal).

Firma cenderung untuk melepaskan kenaikan kos upah kepada pihak pengguna. Jika ini berlaku, ia akan memberi impak berganda kepada isi rumah.

Lebih mendukacitakan jika isi rumah berkenaan bekerja dalam sektor tidak formal yang selalunya tidak terkesan akibat daripada peningkatan upah minimum.

Mencari titik keseimbangan antara peningkatan harga dan upah adalah lebih sukar ketika ekonomi sedang berada dalam fasa pemulihan. Banyak 'kerosakan' akibat pandemik COVID-19 yang perlu diperbaiki dan sesetengah perkara memerlukan jangka masa yang lebih panjang untuk dipulihkan.

Idealnya, dalam keadaan kadar pengangguran yang masih tinggi ketika ini (4.3 peratus pada November 2021), campur tangan struktur pasaran buruh seperti peningkatan upah minimum mungkin tidak dapat dilaksanakan secara meluas sehingga ekonomi mencapai pemulihan yang ketara.

Namun, pada masa sama, kenaikan harga barangan sedang berlaku bersama-sama dengan hakikat bahawa pasaran buruh masih belum pulih. Keadaan ini pastilah mengurangkan kuasa beli dan menambahkan kos pemulihan krisis.

Terdapat beberapa pemboleh ubah boleh dipertimbangkan sebelum sesuatu keputusan diambil:

Pertama, semakan upah minimum perlulah seiring dengan peningkatan produktiviti. Apabila pergerakan upah seiring dengan produktiviti, ini bermakna peningkatan kos upah buruh tadi dapat diimbangi dengan pertambahan pengeluaran. Pengukuran pertumbuhan antara produktiviti dan upah perlulah mengikut kumpulan gaji pekerja.

Jika diukur secara agregat, kemungkinan pertumbuhan upah tadi sebahagian besarnya disokong oleh pekerja yang berpendapatan tinggi sahaja berbanding mereka yang berpendapatan menengah dan rendah.

Kedua, dalam situasi ekonomi semasa, semakan upah minimum yang bersasar adalah lebih ideal iaitu dengan menetapkan kumpulan sasaran, sektor dan lokasi geografi perniagaan. Semakan bersandarkan kepada kos sara hidup yang berbeza antara bandar dan luar bandar juga adalah perkara yang boleh dipertimbangkan.

Jika semakan upah minimum bersifat menyeluruh dan terpakai kepada semua, kebimbangannya adalah ia berpotensi memberi kesan sebaliknya kepada pengguna dan isi rumah.

Jadi keputusan 'menang-menang' perlu dicari tanpa membabitkan kos jangka pendek dan panjang kepada pemulihan ekonomi. Semuanya bergantung kepada kebijaksanaan dan kecekapan pihak yang berkaitan.

Penulis adalah Penganalisis ekonomi di Universiti Putra Malaysia (UPM)

Sumber: Berita Harian, 8 Februari 2022

Date of Input: 18/03/2022 | Updated: 18/03/2022 | syazmer

MEDIA SHARING

UPM SCHOOL OF BUSINESS AND ECONOMICS
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397697777
0397697777
-
WWGJDAP:03:00