Tiada Kaitan Lambakan Rokok Tidak Sah Dengan 'end Game' | UPM SCHOOL OF BUSINESS AND ECONOMICS
» ARTICLE » Tiada kaitan lambakan rokok tidak sah dengan 'end game'

Tiada kaitan lambakan rokok tidak sah dengan 'end game'

ISU lambakan rokok tidak sah memang telah lama digembar-gemburkan bermula daripada kenaikan cukai eksais rokok pada 2015.

Ada pihak tertentu mendakwa kenaikan harga rokok sah yang disebabkan cukai eksais adalah punca utama 60% pasaran rokok dikuasai oleh rokok tidak sah di Malaysia.

Dan sekarang apabila kerajaan hendak melaksanakan “generational end game”, mereka masih menggunakan alasan yang sama walaupun tiada bukti saintifik untuk membuktikan dakwaan ini.

Dakwaan hubungkait antara rokok tidak sah dan kenaikan cukai eksais rokok telah disangkal dengan beberapa kajian yang dijalankan sama ada di peringkat antarabangsa dan dalam negara, tetapi mereka masih lagi berdegil seperti pepatah melayu menegakkan benang yang basah.

Agak hairan apabila syarikat rokok sendiri menaikkan harga rokok mereka walau tidak disebabkan cukai eksais, tiada pula isu lambakan rokok haram diketengahkan.

Kajian dijalankan penyelidik UPM dan TARUC pada 2020 membuktikan bahawa lambakan rokok tidak sah di Malaysia antaranya berpunca daripada isu rasuah, bukannya kesan daripada cukai.

Walaupun setelah enam tahun cukai eksais dikenakan ke atas rokok, kita masih berperang dengan masalah lambakan rokok tidak sah, di manakah Jabatan Kastam Diraja Malaysia dalam isu ini?

Adakah disebabkan oleh kegagalan pihak tertentu dalam menangani masalah ini kita terpakasa gadaikan generasi masa depan dengan menghalang kawalan yang sepatutnya baik untuk kesihatan masa depan mereka?

Adakah kita perlu tunduk dengan dakwaan tidak berasas pihak industri yang hanya tahu mengaut keuntungan daripada kelemahan sistem kita?

Sebagai sebuah keluarga Malaysia, pelaksanaan generational end game merupakan satu usaha yang perlu disokong oleh semua pihak.

 

Tidak ada logik kaitan di antara pelaksanaan ini dengan lambakan rokok tidak sah.

Namun masalah rokok tidak sah perlu ditangani secara serentak dengan pelaksanaan end game ini, bukan dengan menghalangnya. – 31 Januari, 2022.

* Prof Madya Dr Norashidah merupakan timbalan dekan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi UPM.

Sumber: The Malaysian Insight, 31 Januari 2022.

Date of Input: 15/03/2022 | Updated: 15/03/2022 | syazmer

MEDIA SHARING

UPM SCHOOL OF BUSINESS AND ECONOMICS
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397697777
-
SXEaCAm~