Industri pakaian dan barangan terpakai atau 'bundle' berpotensi menjadi produk tarikan pelancongan melalui pembukaan pasar karat dan 'car boot' jika diberi perhatian khusus, sekali gus menyumbang kepada peningkatan peluang pekerjaan.
Pensyarah kanan, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE), Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohd Romzee Ibrahim berkata, agensi berkaitan boleh memainkan peranan kerana perniagaan ini mempunyai potensi pembangunan yang sangat besar.
"Bayangkan, jika pasar karat di Malaysia terkenal disebabkan adanya barangan bundle selain unik, sudah tentu ia dapat menarik minat pelancong selain penggemar hobi dan pengumpul barangan antik untuk berkunjung.
"Sebagai contoh, satu ketika dulu, Pasar Seni adalah pusat hasil kraftangan. Kita perlukan variasi di pusat perniagaan bundle," katanya kepada Harian Metro.
Menurut beliau, peniaga atau usahawan mikro sebegini memainkan peranan di dalam pembangunan industri tempatan.
"Peniaga bundle banyak menyertai pelbagai program jualan, berada di pasar karat selain kebiasaannya berpindah-randah.
"Ada yang melakukannya secara sepenuh masa dan sebaliknya. Bagi peniaga tetap, ia menjadi sumber pendapatan utama manakala bagi yang mengerjakannya secara separuh masa, ia menjadi sumber pendapatan tambahan," katanya.
Mohd Romzee berkata, pakaian dan barangan terpakai itu diminati kerana harga yang ditawarkan adalah murah selain memiliki nilai sentimental atau sukar diperoleh (rare).
Kata beliau, konsep atau strategi Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) di dalam perniagaan dan pelaburan juga dapat dipraktikkan.
"Daripada segi persekitaran, kita mengitar semula pakaian dan tidak melakukan pembuangan. Berkaitan sosial pula, interaksi antara peniaga dan pembeli kerana berlakunya interaksi tawar-menawar dalam kalangan mereka.
"Bagi tadbir urus, pelanggan juga lebih bijak berbelanja dengan tidak menghabiskan bajet dengan membeli pakaian berjenama mahal," katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, aktiviti perniagaan bundle seperti yang dijalankan di pasar karat dan lokasi lain juga boleh dijadikan petunjuk perkembangan ekonomi setempat.
Baca artikel penuh di sini : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2025/01/1178634/lagi-vintaj-lagi-mahal-harga
Harian Metro, 20 Januari 2025
Dr. Mohd Romzee Ibrahim merupakan Pensyarah Kanan di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, UPM dalam bidang Pembiayaan Mikro untuk Pembangunan Pelancongan Luar Bandar
Date of Input: 11/03/2025 | Updated: 11/03/2025 | asyikeen

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
43400 UPM SERDANG
SELANGOR, MALAYSIA
General Line: 03 9769 5305
Undergraduate: 03 9769 1465
Postgraduate: 03 9769 5319