Sokongan Ahli Parlimen Angkat Agenda Ekonomi Bumiputera | SEKOLAH PERNIAGAAN DAN EKONOMI UPM
» ARTIKEL » Sokongan Ahli Parlimen angkat agenda ekonomi Bumiputera

Sokongan Ahli Parlimen angkat agenda ekonomi Bumiputera

oleh Prof. Madya Dr. Anuar Shah Bali Mahomed

BELANJAWAN 2021 dengan peruntukan terbesar RM322.5 bilion mengambil kira pelbagai aspek, terutama dalam menangani tiga krisis melanda negara secara serentak membabitkan kesihatan, ekonomi dan politik yang belum pernah terjadi.

Peruntukan disusun selepas melihat pendapatan negara berkurangan secara signifikan, termasuk Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang menyusut kepada -17.1 peratus untuk suku kedua tahun ini dan bertambah baik untuk suku ketiga, iaitu -2.7 peratus.

Kadar pengangguran juga tidak memihak kepada kita, iaitu pada tahap 4.7 peratus pada Ogos lalu, berbanding kadar purata pengangguran 10 tahun ke belakang, iaitu sebanyak 3.2 peratus atau 500,000 penganggur.

 

Bagaimanapun, kadar pengangguran ketika ini sebenarnya lebih baik jika dibandingkan sebelum pengenalan dan impak inisiatif Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), iaitu sebanyak 5.3 peratus atau 820,000 penganggur pada Mei lalu.

Jadi, tidak mengejutkan apabila penciptaan peluang pekerjaan dan pengekalan pekerjaan sedia ada amat diberikan perhatian oleh kerajaan menerusi Belanjawan 2021.

Hal itu boleh dilihat melalui peruntukan RM3.7 bilion bagi Skim Jaminan Penjanaan Pekerjaan (JanaKerja) membabitkan 500,000 peluang pekerjaan baharu melalui peningkatan kemahiran dan latihan semula, selain RM2 bilion bagi penambahbaikan Program PenjanaKerjaya membabitkan empat inisiatif yang dianggar menyediakan 250,000 lagi peluang pekerjaan.

Umum tahu, Belanjawan 2021 disusun dalam usaha mengatasi krisis kesihatan dan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan.

Namun, jika disoroti inti patinya antara perbelanjaan terbesar disediakan kerajaan dalam konteks mengurangkan ketidaksamarataan antara kaum melalui peruntukan untuk pembangunan dan ekonomi Bumiputera.

Usaha membantu pembangunan dan ekonomi Bumiputera dapat dilihat dengan jelas apabila Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyebut perkataan Bumiputera sebanyak 14 kali ketika pembentangannya.

Bahkan, kerajaan memperuntukkan RM11.1 bilion bagi pembangunan ekonomi Bumiputera, tambahan RM3.1 bilion yang juga peningkatan 28 peratus dibandingkan tahun sebelum ini.

Antara inisiatif membantu agenda ekonomi Bumiputera, termasuk peruntukan RM6.5 bilion untuk meningkatkan pendidikan berkualiti kepada institusi Bumiputera seperti MARA dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) bagi menjalankan program khusus, termasuk pendigitalan pembelajaran pendidikan serta latihan teknikal dan vokasional (TVET) serta menaik taraf program peringkat sijil kepada diploma.

Dalam konteks membantu usahawan Bumiputera terjejas, kerajaan menyediakan RM4.6 bilion, termasuk RM510 juta bagi tujuan pembiayaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan PKS mikro Bumiputera melalui TEKUN dan Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB). RM800 juta juga diperuntukkan melalui program peningkatan keupayaan oleh Bank Pembangunan Malaysia dan SME Bank.

Selain itu, RM2 bilion disediakan bagi membantu pembiayaan PKS Bumiputera melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) dan RM1.3 bilion untuk pelbagai program peningkatan kapasiti, termasuk pembangunan profesional, Dana Kemakmuran Bumiputera serta program atau projek khusus untuk Bumiputera.

Kerajaan juga merangka inisiatif khusus meningkatkan pegangan Bumiputera dalam sektor hartanah menerusi Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) bagi melaksanakan pembangunan komersial atas tanah rizab Melayu. Ini dapat mengoptimumkan nilai tanah rizab serta membantu ekonomi Bumiputera.

Semua inisiatif berkenaan amat kritikal lebih-lebih lagi ketika ini ekuiti Bumiputera pada tahap antara terendah, iaitu 16.2 peratus sahaja jika dibandingkan 23 peratus pada 2011 dan 19.3 peratus pada 1990.

Insiden kemiskinan Bumiputera pada 2019 adalah 7.2 peratus berbanding Cina (1.4 peratus) dan India (4.8 peratus). Purata pendapatan bulanan Bumiputera juga secara konsisten lebih rendah dibandingkan bukan Bumiputera.

Tentu sekali tahun ini, selepas pandemik COVID-19, keadaan menjadi lebih buruk khususnya kepada ekonomi dan pendapatan Bumiputera.

Disebabkan itu, kerajaan melalui Belanjawan 2021 memperuntukkan 28 peratus peruntukan lebih tinggi daripada tahun sebelum ini dalam usaha mengimbangi kesan pandemik COVID-19 dan meningkatkan semula ekuiti serta pendapatan Bumiputera pasca COVID-19.

Ini semua langkah awal untuk merealisasikan hasrat kerajaan mencapai sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti Bumiputera menjelang 2030.

Bagaimanapun, hasrat ini tidak boleh dicapai sekiranya Belanjawan 2021 tidak diluluskan Dewan Rakyat. Selepas kemerdekaan, kita berhadapan pembentangan belanjawan oleh tiga kerajaan berbeza.

Tentu sekali semua belanjawan itu mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing dan setiap satu daripadanya juga semestinya tidak sempurna dan mampu memuaskan hati semua pihak, namun semua belanjawan sebelum ini akhirnya diluluskan.

Ada beberapa cadangan dan input tambahan diberikan anggota Dewan Rakyat berkaitan Belanjawan 2021 yang boleh dikaji, terutama berkaitan isu pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), moratorium dan peruntukan kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA).

Tidak bermakna hanya disebabkan beberapa perkara itu, Belanjawan 2021 tidak boleh diluluskan. Justeru, diharapkan Ahli Parlimen dapat berfikir secara rasional dan terbuka serta melihat kepentingan Belanjawan 2021 dalam konteks rakyat secara keseluruhannya.

Bagi Ahli Parlimen mewakili Bumiputera, tentu sekali mereka perlu melihat kepentingan Belanjawan 2021 ini dalam membantu meningkatkan ekuiti dan pendapatan Bumiputera yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

Janganlah hanya kerana marahkan nyamuk, kelambu dibakar.

Penulis adalah Profesor Madya di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM)

Tarikh Input: 19/11/2020 | Kemaskini: 20/12/2021 | syazmer

PERKONGSIAN MEDIA

SEKOLAH PERNIAGAAN DAN EKONOMI UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397697777
-
SXDTWAc~