Petunjuk Ekonomi Semakin Rancak | SEKOLAH PERNIAGAAN DAN EKONOMI UPM
» ARTIKEL » Petunjuk ekonomi semakin rancak

Petunjuk ekonomi semakin rancak

 
Kuala Lumpur: Pengagihan dividen tinggi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi 2021 petanda jelas ekonomi negara berada dalam landasan pemulihan dan memberikan manfaat kepada rakyat.

Prof Madya Ts Dr Anuar Shah Bali Mahomed dari Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE), Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, ekonomi negara menunjukkan tanda pemulihan terutama pada suku keempat 2021 yang mana Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) meningkat sebanyak 3.6 peratus, berbanding penguncupan sebanyak 3.4 peratus pada tempoh sama tahun sebelumnya.
 
Katanya, peratusan kadar pengangguran juga menurun 4.2 peratus pada Disember 2021, jika dibandingkan pada kemuncak iaitu Mei 2020 iaitu sehingga 5.3 peratus.

"Semua impak positif ini memberikan kesan positif kepada peningkatan kadar dividen KWSP untuk 2021.

"Ia juga termasuk langkah strategik yang diambil oleh KWSP sendiri antaranya mempelbagaikan portfolio KWSP.
 
"Jika kita buat perbandingan dividen tahunan KWSP, ia lebih tinggi jika dibandingkan dengan tahun sebelum terjadinya krisis kesihatan Covid-19.

"Sebagai contoh, dividen pada 2019 adalah sebanyak 5.45 peratus bagi Simpanan Konvensional dan 5.0 peratus bagi Simpanan Shariah.

"Ini satu petanda jelas ekonomi negara berada dalam landasan pemulihan ekonomi dan memberikan manfaat kepada rakyat khususnya dalam konteks KWSP iaitu kepada pencarumnya," katanya kepada Bisnes Metro.

Anuar Shah berkata, penambahan simpanan di dalam KWSP dengan pemberian dividen yang kompetitif ini amat bertepatan.
 
Menurutnya, ia juga membantu rakyat mempunyai simpanan yang mencukupi, sekiranya berlaku krisis pada masa akan datang.

"Krisis Covid-19 memberikan mesej jelas kepada rakyat Malaysia bahawa sebahagian besar berhadapan dengan keterbatasan dalam simpanan mereka untuk digunakan pada waktu kecemasan.

"Dengan pemberian dividen kompetitif oleh KWSP, maka terdapat keperluan untuk kumpulan pekerja diberikan pilihan bagi meningkatkan caruman mereka di dalam KWSP untuk digunakan pada masa kecemasan dan di usia tua nanti, serta sebagai persediaan sekiranya berhadapan dengan krisis pada masa akan datang," katanya.

Ditanya mengenai keperluan untuk KWSP membenarkan pengeluaran oleh pencarum menerusi idea i-Ceria, beliau berkata, mungkin ia boleh diberi secara bersasar.
 
KWSP sebelum ini mengumumkan kadar dividen sebanyak 6.10 peratus untuk Simpanan Konvensional dan 5.65 peratus untuk Simpanan Shariah bagi tahun 2021.
 
Sumber: Harian Metro, 4 Mac 2022.
 

Tarikh Input: 24/03/2022 | Kemaskini: 28/03/2022 | syazmer

PERKONGSIAN MEDIA

SEKOLAH PERNIAGAAN DAN EKONOMI UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397697777
-
SXETGAf~