Perkasa Ekonomi Digital Pacu Persiapan Industri 4.0 | SEKOLAH PERNIAGAAN DAN EKONOMI UPM
» ARTIKEL » Perkasa ekonomi digital pacu persiapan Industri 4.0

Perkasa ekonomi digital pacu persiapan Industri 4.0

KUALA LUMPUR - Cadangan kerajaan dalam Belanjawan 2019 untuk memaksimumkan potensi kuasa ekonomi baharu dan digital dilihat akan merancakkan persiapan negara bagi menghadapi Revolusi Industri Keempat (Industri 4.0).

Ketua Jabatan Ekonomi, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia Dr. Wan Azman Saini Wan Ngah yang dihubungi Bernama hari ini berkata usaha kerajaan memperkasa bidang itu bakal membuka lebih banyak peluang pertumbuhan ekonomi negara khususnya bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

 
 

"Ekonomi digital adalah trend terkini di peringkat global sejajar dengan peralihan kepada Industri 4.0, maka penerokaan potensi bidang itu dengan teknologi baharu secara langsung akan meningkatkan produktiviti dan pertumbuhan ekonomi negara.

"Bidang ini juga sebenarnya amat membantu PKS yang ketika ini kebanyakannya masih menggunakan kaedah yang konvensional dan agak ketinggalan," katanya.

Belanjawan 2019 yang dibentangkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng di Dewan Rakyat hari ini, kerajaan menyenaraikan beberapa inisiatif bagi memperkasa ekonomi baharu dan digital di bawah fokus ketiga iaitu Memupuk Budaya Negara Usahawan.

Antara inisiatif itu termasuklah menyediakan geran RM2 billion menerusi Dana Pelaburan Berkaitan Kerajaan, menubuhkan Dana Pelaburan Bersama (English: Co-Investment Fund) berjumlah RM 50 juta, melaksanakan pembanguanan infrastruktur jalur lebar menerusi Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) dengan peruntukan RM 1 bilion dan meneruskan Insentif Penerbitan Filem Malaysia (MIFI)dengan nilai RM30 juta bagi memacu industri perfileman tempatan.

Dalam pada itu, penerbit dan pengarah filem terkenal tempatan Datuk Dr Yusof Haslam berharap bantuan dana itu digunakan secara telus oleh penggiat seni melonjakkan penghasilan lebih banyak filem yang berkualiti dan bertaraf antarabangsa.

"Apa yang diharapkan,dana itu akan diberikan kepada mereka (penerbit filem) yang betul-betul layak dan komited dalam menghasilkan karya filem yang berkualiti.

"Secara peribadi saya amat berterima kasih kepada kerajaan yang menyedari potensi filem tempatan dan masih memberi peruntukkan dalam belanjawan kali ini walaupun negara sedang berdepan kekangan kewangaan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sementara itu, pensyarah Fakulti Komunikasi dan Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) Mohd Hilmi Bakar pula berpendapat dalam usaha negara meneroka potensi teknologi digital, kerajaan juga perlu memastikan cara terbaik untuk mendapatkan hasil pulangan daripada platform itu termasuklah mengenakan cukai.

 

Tarikh Input: 27/11/2018 | Kemaskini: 28/03/2022 | syazmer

PERKONGSIAN MEDIA

SEKOLAH PERNIAGAAN DAN EKONOMI UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397697777
-
SXDTQAN~