MPMMN Sasar Satu Keluarga Satu Rumah | UPM SCHOOL OF BUSINESS AND ECONOMICS
» ARTICLE » MPMMN sasar Satu Keluarga Satu Rumah

MPMMN sasar Satu Keluarga Satu Rumah

 
Mesyuarat Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) akan merangka strategi penyediaan dan pelaksanaan 500,000 unit rumah mampu milik (RMM) di seluruh negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, strategi itu akan dilaksanakan sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) membabitkan Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pemaju perumahan swasta.

Menurutnya, MPMMN adalah platform membincang dan menyelaras hala tuju penyediaan rumah mampu milik seluruh negara selaras dengan matlamat Satu Keluarga Satu Rumah dan merupakan komponen baharu ke arah menjayakan agenda Malaysia Berdaya Huni.
 
Pembinaan Program Perumahan Rakyat (PPR) baharu akan mengambil kira elemen keterhubungan dan akses internet seperti 'fibre to the home' (FTTH), jaringan hubungan pengangkutan awam serta reka bentuk yang lebih ekonomik dan lebih selesa," katanya dalam kenyataan.

"Kerajaan Persekutuan akan memberi subsidi dan kerajaan negeri menyediakan tanah manakala bank mempermudahkan pembiayaan bagi memastikan harga rumah PPR dan rumah mampu milik dapat dijual dengan harga yang berpatutan.

Kerajaan komited menyediakan rumah mampu milik untuk generasi muda supaya selain memberi tumpuan kepada pembinaan rumah mampu milik di bandar kecil dan pinggir bandar untuk meningkatkan peluang golongan M40 membeli rumah.
 
Profesor Madya Ts. DR. Anuar Shah dari Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia, menyambut baik usaha kerajaan berhubung penyediaan rumah mampu milik dan strategi pelaksanaan RMM di bandar kecil dan pinggir bandar.

“Pembinaan rumah mampu milik di kawasan pinggir dan luar bandar adalah sesuatu yang baik kerana usaha ini dapat menghidupkan kawasan luar bandar daripada penghijrahan secara besar-besaran ke kawasan bandar melalui perkembangan sosioekonomi luar bandar dan juga dapat meningkatkan peluang pekerjaan di kawasan luar bandar” katanya kepada wartawan Malaysiakini ketika dihubungi, baru-baru ini.
 
Kriteria yang kerajaan perlu fokus dalam pembinaan rumah mampu milik adalah mengambil kira pendapatan isi rumah B40 dan M40 dan ruang di dalam rumah mampu milik juga perlu mempunyai sekurang-kurangnya 3 bilik atau lebih baik 4 bilik dengan keluasan lebih 1000 kaki persegi.

Selain itu, rumah mampu milik perlu disasarkan kepada rakyat Malaysia yang belum mempunyai rumah. Isu pada ketika ini rumah yang dibeli oleh rakyat yang sudah mempunyai beberapa buah rumah. Oleh itu, inisiatif ini perlu hadkan untuk mereka yang belum mempunyai rumah.

“Kemudahan awam dan aksesibiliti juga adalah sangat penting kerana majoriti golongan M40 ini bekerja di bandar yang berdekatan,” jelasnya.

Tambahnya, aspek seterusnya adalah skim pembiayaan dan pinjaman perumahan yang harus dipermudahkan untuk golongan M40 dan B40.
 
Konsep sewa beli yang diperkenalkan oleh kerajaan iaitu membayar sewa kepada entiti dilantik oleh kerajaan yang akan menguruskan pembayaran dengan pihak bank. Selepas tempoh matang maka rumah tersebut akan dipindahmilik.

Selain itu, dalam Bajet 2022, kerajaan menyediakan jaminan sehingga RM2 bilion melalui Skim Jaminan Kredit Perumahan untuk memberi akses pembiayaan kepada golongan yang sukar membeli rumah kerana tiada pendapatan tetap. Untuk memohon di bawah skim ini, purata pendapatan bulanan pemohon hendaklah sekurang-kurangnya RM1,000.00.

Rumah mampu milik bagi peluang golongan muda miliki rumah

Tinjauan wartawan Malaysiakini mendapati rata-rata golongan muda teruja dengan cadangan pembinaan rumah mampu milik dapat dilaksanakan nanti.

Bagi Batrisyia, 27, dari Kota Kinabalu, Sabah, beliau berharap agar cadangan rumah mampu milik itu dapat direalisasikan berikutan harga semasa rumah ketika ini masih di luar kemampuan.

“Untuk orang yang sudah berkeluarga seperti saya, memiliki sebuah rumah adalah amat penting kerana ianya merupakan satu aset yang boleh diwarisi.”

Sanjeevan, 28, dari Ulu Tiram, Johor, pula berkata, matlamat ‘Satu Keluarga Satu Rumah’ ini merupakan satu inisiatif yang baik oleh kerajaan. Beliau bersetuju dengan cadangan pembinaan Program Perumahan Rakyat (PPR) yang akan mengambil kira elemen seperti keterhubungan dan akses Internet seperti ‘fibre to the home’ (FTTH) kerana rakyat sangat memerlukan kemudahan tersebut untuk melakukan tugasan harian,” katanya.

Faris, 23, dari Pontian, Johor, berharap agar kerajaan dapat memudahkan atau melonggarkan syarat pembelian rumah terutamanya bagi golongan muda.

“Nak beli rumah sekarang, memang tidak mampu. Kalau boleh mudahkan syarat pembelian dan harga yang mampu milik, ini dapat meringankan beban golongan muda untuk memiliki sebuah rumah.
 
Sumber: Malaysiakini, 21 Februari 2022

Date of Input: 24/03/2022 | Updated: 24/03/2022 | syazmer

MEDIA SHARING

UPM SCHOOL OF BUSINESS AND ECONOMICS
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397697777
-
SXEYQAi~