Keusahawanan Asnaf | SEKOLAH PERNIAGAAN DAN EKONOMI UPM
» ARTIKEL » Keusahawanan Asnaf

Keusahawanan Asnaf

PADA ketika ini, keusahawanan adalah salah satu bidang utama yang memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi negara. Bidang ini juga dilihat sebagai pemangkin kepada peningkatan dan perkembangan ekonomi termasuk dalam peningkatan pendapatan per kapita negara.

 

Data daripada Unit Strategi Nasional, Kementerian Kewangan menunjukkan sumbangan usahawan kepada ekonomi negara pada ketika ini adalah sebanyak 36 peratus.

Melalui Rancangan Malaysia Ke-11, keusahawanan menjadi salah satu bidang keutamaan di peringkat nasional dalam persediaan menjayakan Wawasan 2020. Kerajaan menyasarkan sumbangan kira-kira 70 peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada golongan usahawan pada 2050.

Pelbagai kementerian dan agensi kerajaan turut terlibat secara langsung di dalam ekosistem pembangunan keusahawanan termasuk membentuk jaringan usahawan.

Di peringkat Kementerian Pendidikan pula, kelangsungan ini diteruskan dengan pembentukan dasar baharu iaitu Dasar Pembangunan Keusahawanan yang bertujuan untuk menggalakkan keusahawanan terancang dan holistik di universiti tempatan.

Dasar ini juga diharap akan dapat melahirkan modal insan yang berkualiti dan mempunyai pemikiran, atribut dan nilai keusahawanan serta melahirkan lebih ramai lagi usahawan.

Dasar ini membentuk generasi muda yang seimbang dan produktif dalam bidang keusahawanan dan diharap dapat mengurangkan kadar pengangguran negara yang mencecah 3.5 peratus kepada angka yang lebih rendah, sekali gus mengurangkan pergantungan masyarakat kepada sektor awam dan swasta.

Dengan itu, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP), Universiti Putra Malaysia (UPM) fokus kepada bidang keusahawanan dalam aspek teori dan praktikal melalui Kursus Asas Keusahawanan, Kursus Sijil Keusahawanan dalam Pembangunan Profesional, Program Business Talk Series dan Program SME@UPM.

FEP UPM juga menjalin kerjasama program keusahawanan bersama warga desa iaitu Program Pembangunan Keusahawanan Desa di Pedu, Kedah dan Changkat Jong, Teluk Intan, Perak pada tahun lalu.

FEP UPM juga telah menawarkan program baharu iaitu Sarjana Keusahawanan yang akan bermula pada September ini dalam menawarkan pendidikan keusahawanan secara formal sejajar dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) bagi melahirkan graduan dengan minda keusahawanan.

FEP dengan kerjasama Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen UPM (WAZAN) turut membina kerangka pembangunan ekonomi Islam melalui keusahawanan.

Ianya adalah merupakan satu anjakan paradigma dalam memastikan agar setiap penerima zakat daripada WAZAN ditransformasi menjadi pemberi zakat pula kepada WAZAN.

Melalui pendekatan ini, sebahagian wang zakat yang dibayar oleh institusi perniagaan akan dikembalikan semula institusi zakat kepada mereka untuk diadakan aktiviti keusahawanan asnaf dan membangunkan ekonomi keluarga asnaf.

QSR Brands (M) Holdings Bhd. telah menyalurkan wang zakat sebanyak RM50,000 kepada UPM untuk melaksanakan Program Keusahawanan Asnaf untuk mahasiswa asnaf UPM.

Melalui program ini, UPM akan memberikan fokus khusus kepada mahasiswa daripada keluarga fakir dan miskin bagi mengembangkan perniagaan masing-masing.

Seramai 40 pelajar asnaf UPM terpilih diberikan pendedahan melalui sepuluh modul pembelajaran keusahawanan. Pelajar yang terpilih akan diberikan modal pusingan sebanyak RM6,250 untuk memulakan perniagaan bagi membiayai kos operasi.

Program ini adalah pertama kali diadakan di UPM dan di universiti awam sementara modul yang dirangka tenaga pengajar UPM dan pihak industri amat komprehensif untuk membimbing peserta ke arah keusahawanan.

UPM bersedia membantu pihak luar yang berminat dengan model baharu yang dirangka oleh FEP iaitu adunan teori dan pendedahan kepada industri untuk melahirkan mahasiswa usahawan seterusnya menjadi contoh dalam memperkasakan penjanaan ekonomi Islam dan ummah.

 

 

PROF. DR. AZALI MOHAMED

Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UPM



Capaian Artikel Penuh Rujuk di sini dan capaian akhbar asal sila rujuk di sini
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tarikh Input: 18/12/2018 | Kemaskini: 18/12/2018 | nurzatul

PERKONGSIAN MEDIA

SEKOLAH PERNIAGAAN DAN EKONOMI UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397697777
-
SXDTQAV~