Ketepikan 'kehendak', Utamakan Keperluan | UPM SCHOOL OF BUSINESS AND ECONOMICS
» ARTICLE » Ketepikan 'kehendak', utamakan keperluan

Ketepikan 'kehendak', utamakan keperluan

Ketepikan 'kehendak', utamakan keperluan

 
Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my
 
Kuala Lumpur: Utamakan keperluan terlebih dulu dan ketepikan kehendak. Itu nasihat penganalisis ekonomi kepada rakyat negara ini ketika berdepan kenaikan harga barang atau inflasi.

Dengan disiplin kepenggunaan yang betul dari segi perbelanjaan, kesan kenaikan harga berkenaan akan dapat ditangani dan memberikan manfaat kepada kehidupan masyarakat.
 
Pensyarah Ekonomi Fakulti Pengurusan Perniagaan Universiti Teknologi Mara Cawangan Perlis, Prof Madya Azman Daim berkata, kegagalan untuk memastikan pembelian barangan keperluan yang harus diutamakan, akan menyebabkan seseorang individu berbelanja di luar kemampuan sehinggakan ada yang sanggup berhutang.

"Seperti yang kita perhatikan sekarang, terdapat sebahagian besar pengguna yang mengutamakan perbelanjaan untuk memenuhi 'kehendak' mereka melebihi daripada keperluan.

"Bila itu berlaku, kita akan merasakan harga barangan meningkat kerana ada yang berbelanja mengikut kehendak serta selera semasa.
 
"Sebenarnya apa yang dibayar oleh pengguna ada ke atas nilai ditambah barangan berkenaan. Ia seperti penjenamaan, dan perbelanjaan pengiklanan yang digunakan peniaga yang mempengaruhi permintaan menyebabkan kenaikan kos barangan terbabit.

"Ia menyebabkan harga barang menjadi mahal dan pengguna perlu mengeluarkan wang lebih, yang sepatutnya tidak perlu pun," katanya.

Beliau berkata, kenaikan harga barang atau inflasi yang mempunyai kaitan langsung kepenggunaan ini dikenali sebagai inflasi tarikan permintaan iaitu kenaikan harga disebabkan permintaan yang semakin tinggi.

Sehubungan itu, beberapa kehendak seperti pembelian rumah, kenderaan baharu, atau barangan yang mempunyai nilai ditambah perlu ditangguhkan dulu kerana pengguna seharusnya mengutamakan barangan keperluan.

"Kita tidak boleh salahkan pengeluar sekiranya harga barangan meningkat kerana mereka menghasilkan produk untuk dijual bagi mendapatkan keuntungan. Peningkatan permintaan bermaksud peningkatan keuntungan kepada pengeluar atau peniaga. Semestinya peniaga akan meningkatkan harga barangan mereka supaya keuntungan mereka tidak terjejas.

"Oleh itu, masyarakat pengguna yang bijak harus mengamalkan corak perbelanjaan yang berhemah dengan berbelanja mengikut keupayaan 'kuasa beli' masing-masing. Utamakan keperluan dan kurangkan permintaan terhadap barangan kehendak," katanya.

Beliau berkata, masyarakat juga perlu mengelakkan dari membuat pembelian panik yang sudah tentu akan meningkatkan permintaan sekali gus menyebabkan kenaikan harga barangan.

Sementara itu Profesor di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Azmawani Abd Rahman berkata, sudah sampai masanya pihak berwajib memberi keutamaan kepada penghasilan produk tempatan untuk mengatasi kenaikan harga.
 
Katanya, kurangnya kebergantungan kepada barangan import menyebabkan harga barangan keperluan akan menjadi stabil dan bekalannya sentiasa terjamin.

"Pada masa ini, kita ada banyak barangan yang diimport, ada daripadanya kita boleh hasilkan sendiri dan kita perlu bermula dari sekarang untuk mengurangkan kesan jangka masa panjang," katanya.

Menurutnya, syarikat juga boleh memainkan peranan dengan mengeluarkan produk khusus untuk golongan B40 dan M40 bagi membolehkan mereka dapat menikmati kadar harga yang berpatutan.
 
Sumber: Harian Metro, 21 Februari 2022.

Date of Input: 23/03/2022 | Updated: 23/03/2022 | syazmer

MEDIA SHARING

UPM SCHOOL OF BUSINESS AND ECONOMICS
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397697777
-
SXEYUAl~