Kerjasama Erat IPT, Industri Tingkat Kebolehpasaran Graduan | SEKOLAH PERNIAGAAN DAN EKONOMI UPM
» ARTIKEL » Kerjasama erat IPT, industri tingkat kebolehpasaran graduan

Kerjasama erat IPT, industri tingkat kebolehpasaran graduan

Oleh Prof. Dr. Azali Mohamed
Dekan, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan
Universiti Putra Malaysia (UPM)

24 Sept -  Kementerian Pendidikan ingin membabitkan lebih ramai pemain industri dalam usaha memperkasakan pendidikan negara, terutama dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Untuk lima tahun akan datang, lebih banyak ruang dan peranan terbuka kepada industri dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui kerjasama dengan industri pendidikan tinggi (IPT). 

Industri sering memberikan maklum balas terhadap kebolehpasaran graduan IPT dalam aspek penguasaan kemahiran, bahasa dan ilmu mutakhir. Ada juga industri yang memberikan industri yang memberikan input kepada IPT bagi memperbaiki pelaksanaan kurikulum universiti dalam merangka strategi terbaik untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan.

Namun, tanggapan meletakkan beban sepenuhnya kepada universiti bagi menyediakan graduan market ready perlu dikikis.

Kebolehpasaran graduan

Walaupun pelbagai inisiatif yang sudah diambil yang membabitkan pelbagai pihak berkepentingan, namun laporan Kementerian Pendidikan menunjukkan kadar kebolehpasaran graduan pada 2017 meningkat sebanyak 1.8 peratus sahaja, iaitu daripada 77.3 peratus bagi 2016 kepada 79.1 peratus bagi 2017.

Peningkatan itu begitu kecil jika dibandingkan dengan pelbagai inisiatif yang telah diambil dengan kos yang besar. Data itu juga menunjukkan bahawa graduan yang tidak bekerja meliputi lebih 20 peratus daripada jumlah keseluruhan graduan.

Berdasarkan Laporan Penyiasatan Gaji dan Upah serta Laporan Penyiasatan Tenaga Buruh Malaysia 2016, satu pertiga daripada penganggur terdiri daripada mereka yang berkelulusan peringkat tertiari.

Terdapat tiga cadangan baharu untuk melihat semula pelaksanaan model sebelum ini yang membabitkan lebih daripada 20 peratus graduan yang masih belum bekerja.

Perkara ini juga tidak mengambil kira 79.1 peratus graduan yang memperoleh pekerjaan pada 2017, sama ada pekerjaan setaraf dengan kelulusan akademik ataupun lebih rendah.

Cadangan seperti berikut;

 

Penstrukturan semula latihan industri

Pada ketika ini, semua IPT telah melaksanakan latihan industri sebagai satu daripada komponen penting dalam kurikulum pengajian akademik di IPT. Namun, antara isu yang timbul ialah sebahagian IPT melaksanakan latihan industri pada pertengahan pengajian.

Ini bermakna selepas tamat latihan industri, pelajar akan menyambung beberapa semester pengajian mereka di IPT. Wujud juga pelbagai organisasi yang ingin mengambil terus pelajar selepas tamat latihan industri untuk bekerja secara sepenuh masa, namun tidak dapat dilaksanakan disebabkan kekangan pelajar yang perlu melengkapkan baki semester. 

Pelajar yang sama juga berpotensi menganggur selepas tamat pengajian dan perlu mencari semula pekerjaan hingga merugikan pelajar dan industri. Sepatutnya semua pelajar menjalani latihan industri pada tahun akhir dan di sinilah peranan industri untuk memastikan pelajar diserapkan secara sepenuh masa. 

Antara langkah yang boleh diambil bagi kerajaan ialah untuk memberikan insentif kepada organisasi yang menyerapkan pelajar melalui Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) yang disalurkan kepada organisasi yang menyediakan latihan industri hingga akhirnya, organisasi akan memperoleh sebahagian daripada kos yang dibelanjakan.

 

Inovasi antara industri, IPT

Kerajaan baharu melalui Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar akan menawarkan lebih banyak geran kepada industri untuk projek penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Melalui subsidi kerajaan kepada industri, mereka boleh menyumbang kembali kepada pembangunan bakat atau modal insan di IPT. Peluang ini seharusnya digunakan oleh industri untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan dengan menyumbang kepada dana penyelidikan untuk pelajar pascasiswazah.

Ini satu daripada inisiatif murni kerajaan menarik lebih banyak industri bekerjasama dengan universiti. Namun, dalam konteks mutakhir terhadap keperluan industri, bukan setakat industri bekerjasama dengan universiti tetapi harus berada satu bumbung dengan universiti.

Mengambil contoh perubahan arus teknologi masa kini dengan berkembangnya Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0), wujud keperluan untuk industri membuka lebih banyak makmal penyelidikan dalam kampus dan membawa lebih ramai tenaga pakar industri untuk bekerjasama dengan tenaga akademik dan pelajar dalam menghasilkan inovasi baharu. 

Perkara ini banyak dilaksanakan di negara lain, khususnya Jerman sebagai pelopor pelaksanaan IR 4.0. Organisasi di Jerman sebahagiannya membuka makmal dan meletakkan tenaga pakar di beberapa universiti terkemuka. Antaranya Technical University of Munich dengan Google dalam membuat penyelidikan bersama bidang kecerdasan buatan, machine learning dan robotik. 

Tanpa inovasi, negara berdepan kesulitan dalam menjana pendapatan menerusi sumber baharu. Kita harus mengambil iktibar pengalaman Alibaba mengembangkan perniagaan melalui gabungan penggunaan teknologi terkini, kreativiti pemasaran dan produk mampu menerjah halangan globalisasi bagi menepati cita rasa pengguna yang semakin canggih.

Universiti pula mempunyai kekuatan dan kepakaran yang membolehkan industri menggunakan ahli akademik untuk membantu inovasi produk serta perkhidmatan mereka.

 

Hubungan di antara universiti dan industri

Dalam konteks ini, pelbagai kerjasama dilaksanakan seperti pertandingan reka cipta dan inovasi produk berkaitan dengan keperluan industri yang boleh membantu kreativiti pelajar terbabit dalam R&D. Selama ini sektor industri hanya menyokong usaha kebolehpasaran graduan melalui temu duga terbuka dalam kampus yang sepatutnya pada masa kini dipergiatkan di kolej kemahiran dan kolej berskala kecil.

Pegawai utama industri juga harus proaktif memberi ceramah kepada pelajar di universiti tanpa perlu menunggu jemputan rasmi atau lantikan sebagai profesor adjung dan ceramah umum. Industri disaran memberikan lebih banyak biasiswa kepada pelajar kerana selama ini hanya syarikat besar menawarkan biasiswa. Selain biasiswa, hadiah kepada pelajar cemerlang boleh diberikan oleh pihak industri. 

Dari sudut keusahawanan, industri boleh menjemput pelajar untuk terbabit dalam perniagaan supaya dapat memahami kaedah pemasaran sebenar. Dalam menongkah arus perubahan masa kini, universiti dan industri perlu berganding bahu dalam merealisasikan hasrat murni kerajaan baharu untuk meningkatkan peluang pekerjaan dan kebolehpasaran graduan.

Kerangka kerjasama baharu IPT dan industri ini akan dapat mempertingkatkan secara signifikan kebolehpasaran graduan dan mengurangkan kebergantungan graduan kepada sektor awam.

 

Untuk artikel penuh rujuk di sini atau rujuk Berita Harian Versi Online di sini

Maklumat lanjut kepakaran rujuk di sini

Tarikh Input: 25/09/2018 | Kemaskini: 18/12/2018 | nurzatul

PERKONGSIAN MEDIA

SEKOLAH PERNIAGAAN DAN EKONOMI UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397697777
-
SXDTPA1~