Dividen KWSP 6? | UPM SCHOOL OF BUSINESS AND ECONOMICS
» ARTICLE » Dividen KWSP 6?

Dividen KWSP 6?

 

Kuala Lumpur: Dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi 2021 dijangka akan lebih baik berbanding tahun sebelumnya dengan anggaran antara 5.5 ke 6.0 peratus bagi Simpanan Konvensional dan 5.0 ke 5.5 peratus untuk Simpanan Syariah.

Prof Madya Ts Dr Anuar Shah Bali Mahomed dari Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE), Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, berdasarkan kepada situasi ekonomi pada 2021 khususnya suku keempat 2021, berkemungkinan dividen yang dijangkakan diumumkan oleh KWSP pada Isnin adalah lebih baik jika dibandingkan dengan 2020.

Menurutnya, sebelum ini pada 2020, KWSP mengumumkan dividen sebanyak 5.20 peratus bagi Simpanan Konvensional dan 4.90 peratus untuk Simpanan Syariah.

"Namun, berdasarkan situasi semasa dan KWSP juga mencatatkan pendapatan pelaburan kasar RM48.02 bilion untuk sembilan bulan pertama berakhir 30 September 2021 dan itu peningkatan 7.7 peratus atau RM3.42 bilion berbanding RM44.60 bilion yang dicatatkan dalam tempoh sama bagi 2020.

"Selain itu, KWSP mencatatkan pendapatan pelaburan kasar sembilan bulan pertama berakhir 30 September 2021 lebih tinggi jika dibandingkan dengan tempoh sama 2020, ia juga disebabkan oleh pembukaan sektor ekonomi yang lebih menyeluruh terutamanya pada suku keempat 2021.
 
"Pembukaan sektor ekonomi ini berjaya memberikan impak positif kepada negara dan juga KWSP. Hasilnya, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia meningkat sebanyak 3.6 peratus pada suku keempat 2021.

"Pertumbuhan positif ini juga memberikan gambaran jelas berkenaan situasi ekonomi negara yang berada di landasan untuk pemulihan daripada kesan Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan (PKP).

"Peratusan kadar pengangguran juga menurun kepada 4.2 peratus pada Disember 2021 jika dibandingkan pada kemuncak pada Mei 2020 iaitu sehingga 5.3 peratus," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, semua faktor ini termasuk langkah strategik yang diambil oleh KWSP sendiri antaranya mempelbagaikan portfolio KWSP berjaya membantu dalam peningkatan pendapatan pelaburan kasar.
 
Sumber: Harian Metro, 26 Februari 2022

Date of Input: 24/03/2022 | Updated: 24/03/2022 | syazmer

MEDIA SHARING

UPM SCHOOL OF BUSINESS AND ECONOMICS
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397697777
-
SXEUKAD~