Terima Bantuan Persekolahan Tajaan UPM, QSR Brands | SEKOLAH PERNIAGAAN DAN EKONOMI UPM
» ARTIKEL » Terima bantuan persekolahan tajaan UPM, QSR Brands

Terima bantuan persekolahan tajaan UPM, QSR Brands

 

 
BUKIT GANTANG: Seramai 50 pelajar sekolah menengah dari keluarga asnaf menerima bantuan menjelang sesi baharu persekolahan bernilai RM50,000 sumbangan Sekolah Perniagaan Dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM) dan QSR Brands (M) Holdings Berhad.

Sumbangan telah disampaikan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Ustaz Idris Ahmad di pekarangan Pusat Khidmat Parlimen Bukit Gantang, dekat sini semalam.
 
“Hari ini ramai di kalangan golongan B40 (pendapatan isi rumah bulanan berjumlah RM4,850 dan ke bawah) bergelut untuk menyiapkan persiapan persekolahan dan menyara keluarga berikutan keadaan ekonomi yang tidak menentu ditambah dengan penularan virus COVID-19 yang tidak berkesudahan.

“Untuk itu pada tahun ini, seramai 1,320 pelajar di Parlimen Bukit Gantang telah menerima sumbangan yang bernilai lebih RM100,000 dalam menyediakan kelengkapan awal persekolahan,” ujar Ustaz Idris yang juga Naib Presiden PAS.

Beliau turut bercadang untuk menaja rangkaian internet secara percuma di masjid dan surau sekitar Bukit Gantang untuk kemudahan pelajar-pelajar mengikuti pengajaran dan pembelajaran secara atas talian.

Menurutnya, pendidikan harus menjadi keutamaan bagi setiap ibu bapa kerana dengannya dapat meningkatkan status hidup diri dan keluarga.

“Di atas kesedaran itu, UPM dan QSR Brands (M) Holdings Berhad telah melaksanakan satu tanggungjawab sosial yang besar manfaatnya. Saya juga mencadangkan agar dianjurkan kursus-kursus kemahiran dan keusahawanan untuk anak-anak yang telah tamat persekolahan,” ujarnya.

Turut hadir, Pemangku Ketua Jabatan Syariah dan Pematuhan Halal QSR Brands (M) Holdings Berhad, Hayazi Darus dan Ketua Projek Bantuan Persekolahan Anak-Anak Asnaf, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi UPM, Prof Madya Ts Dr. Anuar Shah Bali Mahomed serta Pengarah Pusat Khidmat Parlimen Bukit Gantang, Zulkefly Ahmed.

Pada program tersebut, para pelajar juga telah dibawa membeli-belah kelengkapan persekolahan dengan peruntukan RM220 setiap pelajar di Kedai Pakaian Ridzuan, Simpang, di sini.

Program diakhiri dengan jamuan tengah hari tajaan QSR Brands (M) Holdings Berhad di restoran makanan segera Kentucy Fried Chicken, Simpang.

Dalam pada itu, ibubapa pelajar melahirkan rasa syukur di atas sumbangan yang diterima dan mengucapkan terima kasih di atas usaha semua pihak menjayakan program ini.

Aini Idris dari Kampung Sendok Tengah berbesar hati apabila dua orang anaknya, Nor Haziqah Abdullah,15, dan Nor Batrisyia Abdullah,14, dapat melengkapkan persiapan awal persekolahan hari ini.

“Terima kasih kepada YB dan semua pihak yang menyumbang. Ia meringankan beban perbelanjaan keluarga saya dalam menyiapkan kelengkapan persekolahan mereka,” katanya.

Musaimir Badaruddin dari Taman Yayasan, Kamunting juga menyatakan syukur apabila tiga daripada enam anaknya terpilih untuk menerima sumbangan daripada UPM dan QSR Brands (M) Holdings Berhad.

Beliau yang bekerja sebagai tukang kebun berkata, tahun ini lima anaknya bersekolah di mana sememangnya amat besar perbelanjaan yang perlu disediakan setiap kali pembukaan sekolah.

“Alhamdulillah, terima kasih kepada Ustaz Idris dan para penyumbang kerana ia sangat-sangat membantu saya sekeluarga melengkapkan persiapan persekolahan anak-anak saya,” katanya.
 
Sumber: Harakahdaily, 28 Februari 2022.

Tarikh Input: 24/03/2022 | Kemaskini: 28/03/2022 | syazmer

PERKONGSIAN MEDIA

SEKOLAH PERNIAGAAN DAN EKONOMI UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397697777
-
SXDdSAy~