Kuala Lumpur: Semakan semula pengelasan B40, M40 dan T20 adalah langkah penting untuk memastikan dasar kerajaan lebih inklusif, tepat dan relevan dengan keadaan sebenar rakyat sekaligus mengurangkan ketidaksamarataan dalam masyarakat, kata Prof Madya Ts Dr Anuar Shah Bali Mahomed.
Timbalan Dekan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM)/The Future Research itu berkata, ini memandangkan pengelasan isi rumah sedia ada yang tidak tepat oleh pelbagai agensi hanya memperluaskan ketidaksamarataan.
Katanya, realiti di lapangan menunjukkan pengelasan pendapatan ini tidak cukup fleksibel untuk menangani pelbagai dimensi kemiskinan seperti saiz isi rumah, lokaliti, kos perbelanjaan dan kos sara hidup.
"Jika ketidaktepatan ini terus dibiarkan, bukan sahaja ia memberi kesan kepada keberkesanan dasar sosial, malah akan terus membebankan rakyat yang tidak menerima bantuan sewajarnya.
"Justeru, kerajaan dan agensi berkaitan perlu menyemak semula pendekatan pengelasan ini supaya ia lebih realistik, inklusif dan terkini demi memastikan setiap individu mendapat hak mereka berdasarkan keperluan sebenar," katanya kepada Bisnes Metro.
Menurutnya, pengelasan ini sering kali bersandarkan angka kasar pendapatan isi rumah tanpa mengambil kira faktor lain yang memberi impak besar kepada kemampuan kewangan sesebuah keluarga.
"Sebagai contoh, keluarga dengan pendapatan isi rumah RM5,000 sebulan di Kuala Lumpur terpaksa berdepan dengan kos sara hidup yang tinggi, termasuk sewa rumah, pengangkutan dan keperluan asas lain dan situasi ini jauh berbeza dengan keluarga di kawasan luar bandar yang berhadapan dengan kos sara hidup lebih rendah.
"Tambahan pula, saiz isi rumah dan bilangan tanggungan turut memainkan peranan penting, sebuah keluarga dengan lima anak sudah tentu memerlukan perbelanjaan lebih besar berbanding keluarga dengan seorang anak sahaja dan jika keluarga itu mempunyai anak istimewa, kos penjagaan perubatan dan pendidikan pasti melonjak berkali ganda," katanya.
Namun begitu katanya, pengelasan pendapatan yang tidak mengambil kira semua faktor ini menyebabkan data yang dihasilkan tidak tepat dan tidak mencerminkan realiti sebenar.
Beliau berkata, lebih membimbangkan, terdapat kategori kumpulan pendapatan mempunyai jurang perbezaan amat besar.
"Sebagai contoh, kategori T20, isi rumah yang pendapatan RM12,000 sebulan dan isi rumah yang berpendapatan RM100,000 sebulan, kedua-duanya adalah T20.
"Walaupun tergolong dalam kategori yang sama, gaya hidup dan kemampuan kewangan dua keluarga ini nyata berbeza bagai langit dengan bumi," katanya.
Anuar berkata, isu ini menjadi lebih ketara dalam konteks pengurusan haji, sebagai contoh, Lembaga Tabung Haji (TH) mengklasifikasikan kos subsidi berdasarkan kategori pendapatan yang mana kos haji bagi kategori B40 ialah RM15,000.
Menurutnya, berapa ramaikah B40 yang mampu menunaikan Haji dan sebagai contoh sekiranya pasangan suami dan isteri dalam kategori B40 ingin menunaikan Haji, ia akan membabitkan kos sebanyak RM30,000.
"Kategori M40 pula dikenakan kos RM23,500 seorang, walaupun ada dalam kalangan mereka isterinya adalah suri rumah sepenuh masa yang tiada pendapatan langsung dan ingin menunaikan haji bersama suami mereka masih dikenakan bayaran kategori M40.
"Hakikatnya, golongan ini lebih layak menerima kadar subsidi kategori B40 kerana mereka bergantung sepenuhnya kepada pasangan yang bekerja, ini menimbulkan cabaran tambahan kepada keluarga, terutamanya apabila suami perlu menanggung kos berganda untuk pasangan serta anak-anak di Malaysia," katanya.
Selain itu katanya, sebagai contoh, suami berpendapatan RM12,000 sebulan (T20) yang mempunyai ramai anak dan isteri tidak bekerja perlu membayar RM66,600 untuk dua orang termasuk isteri (tanpa subsidi kerajaan), sedangkan isterinya sebenarnya lebih sesuai dikategorikan dalam B40 kerana tiada pendapatan.
Menurutnya, pengelasan pendapatan bukan sekadar angka ia adalah gambaran realiti kehidupan rakyat, tanpa mengambil kira pelbagai faktor lain yang mempengaruhi kemampuan kewangan, pengelasan ini hanya menjadi ilusi yang tidak membantu menyelesaikan masalah sebenar.
"Agensi yang bergantung kepada pengelasan ini juga perlu memahami bahawa ketidaktepatan pengelasan boleh membawa kepada dasar dan keputusan tidak tepat, merugikan golongan yang benar-benar memerlukan bantuan.
"Semoga pembaharuan dalam sistem pengelasan ini dapat dilaksanakan dengan kadar segera dan turut mengambil kira faktor yang disebut tadi termasuk berdasarkan pendapatan boleh guna bersih demi kesejahteraan semua," katanya.
Baca artikel penuh di sini : https://www.hmetro.com.my/bisnes/2025/01/1173166/pengelasan-b40-m40-t20-tidak-realistik-anuar-shah
Harian Metro (Online), 5 Januari 2025
Nota: Profesor Madya Ts. Dr. Anuar Shah Bali Mahomed merupakan Timbalan Dekan (Siswazah) di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, UPM. Beliau juga merupakan Profesor Madya dalam bidang Kajian Budaya, Pengadaptasian Teknologi dan Pengurusan Teknologi.
Tarikh Input: 11/03/2025 | Kemaskini: 11/03/2025 | asyikeen

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
43400 UPM SERDANG
SELANGOR, MALAYSIA
Pertanyaan am: 03 9769 5305
Pengajian Siswazah: 03 9769 5319
Pengajian Pra siswazah: 03 9769 1465