Tadbir Urus Baik, Politik Stabil Lonjak Kembali Pasaran Saham | SEKOLAH PERNIAGAAN DAN EKONOMI UPM
» ARTIKEL » Tadbir urus baik, politik stabil lonjak kembali pasaran saham

Tadbir urus baik, politik stabil lonjak kembali pasaran saham

 

 
Petunjuk utama pasaran saham di negara ini, iaitu Indeks Komposit Kuala Lumpur (FBM KLCI) secara amnya mengalami penyusutan dari 2015 ke 2021 kecuali pada 2017 yang mencatatkan 1,796.81 mata.

FBM KLCI yang diperkenalkan pada 1986, memberi penunjuk prestasi pasaran saham dan kedudukan ekonomi negara. Ia mengukur prestasi 30 syarikat terbesar melalui permodalan pasaran penuh yang tersenarai pada Papan Utama Bursa Malaysia.

Pada 2015, FBM KLCI berada pada tahap 1692.51 mata dan menurun 50.78 mata kepada 1641.73 mata pada tahun berikutnya.

Bagaimanapun, ia menunjukkan peningkatan 155 mata kepada 1796.81 mata pada 2017 sebelum menurun sebanyak 106.23 mata kepada paras 1690.58 pada 2018.
 
Pada 2018, trend ini menurun kembali daripada 1690.58 kepada paras 1588.76 pada 2019, tetapi meningkat kepada 1627.21 mata pada 2020. Ia turun kembali kepada 1533.91 mata pada 2021, tetapi setakat 5 Mac lalu, FBM KLCI menunjukkan peningkatan kepada 1603.94 mata.

Trend pasaran saham pada tahun ini secara umumnya menunjukkan peningkatan dari tahun sebelumnya disebabkan kerajaan kini menjadi lebih terbuka dan bersedia untuk membuka lebih banyak sektor ekonomi bagi meningkatkan pasaran saham di negara ini.
 
Ini selaras kejayaan kerajaan memerangi COVID-19 melalui kejayaan proses pemvaksinan menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang membolehkan sempadan dalam negara dan antara negara beransur-ansur dibuka kembali.

Jika dibandingkan negara lain, terutama negara serantau di ASEAN, ada peningkatan buat pasaran saham Malaysia, tetapi pada masa sama masih perlu dipertingkatkan supaya mampu bersaing dengan pasaran saham Singapura dan Indonesia.

Bagaimanapun, secara amnya, semua pasaran saham dunia mengalami kejatuhan disebabkan kesan COVID-19 sejak dua tahun lalu, selain perang antara Russia dan Ukraine.

Inflasi disebabkan kekurangan bekalan kerana pandemik dan masalah logistik turut menyumbang kepada kejatuhan pasaran saham.

Bagaimanapun, tidak betul untuk menyatakan pasaran saham kita antara paling tercorot di dunia atau menyalahkan kerajaan kerana pasaran kita tidak menunjukkan prestasi baik kerana ia adalah fenomena sejagat.

Dijangkakan pasaran saham Malaysia menyusut kembali kepada 1,400 mata (purata) dalam masa lima hingga 10 tahun akan datang.

Bagi meningkatkan semula pasaran saham Malaysia, pelbagai langkah boleh diambil, sama ada oleh kerajaan mahupun rakyat.

Langkah pertama adalah memastikan wujud politik stabil dalam negara yang memerlukan kerajaan kukuh dan stabil serta telus dalam membuat keputusan. Kewujudan kerajaan kukuh dan stabil pasti menarik minat pelabur ke negara ini, terutama pelabur asing.

Walaupun kerajaan sekarang tidak boleh dikatakan kukuh, kewujudan memorandum persefahaman (MoU) dengan pembangkang menjadikan kerajaan relatif stabil, melainkan jika ada cubaan menggugatnya kembali.

Langkah kedua adalah memperkukuhkan pertumbuhan ekonomi negara. Contohnya, memperkukuhkan pertumbuhan sektoral dan mereformasi struktur, mempertingkatkan inovasi serta penerimagunaan teknologi terkini, selain menyediakan infrastruktur berkualiti kepada rakyat serta pihak memerlukan. Sektor dijangka akan berkembang dan meningkatkan taraf ekonomi negara adalah teknologi, perindustrian dan pengguna.

Seterusnya menggalakkan pelabur runcit untuk memeriahkan pasaran saham yang boleh mengukuhkan kedudukannya.

Akhirnya, faktor alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) juga amat perlu dititikberatkan kerana boleh menjadi pemacu kepada pasaran saham tempatan.

Malaysia dilihat berada pada langkah betul dalam perkara ini apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berulang kali menekankan pentingnya ESG dalam ekonomi negara.

Ketika menyampaikan perutusan khas sempena Tahun Baharu 2022, beliau menyebut transformasi ke arah ekonomi dan masyarakat cakna terhadap ESG memerlukan peralihan dalam pelbagai aspek pengurusan, pentadbiran serta kerangka minda dalam pembuatan dasar.

Ujar beliau, dalam soal peluang pekerjaan bakal dijana, Malaysia perlu bersedia mewujudkan satu ekosistem mampu menjana aktiviti dan pasaran pekerjaan selari dengan tuntutan dan keperluan ke arah ekonomi dan masyarakat mesra ESG.

Begitu juga dengan sistem pendidikan sedia ada yang akan disesuaikan agar lebih menjurus kepada aspek ESG dengan kurikulum Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) khususnya perlu ditambah baik untuk memenuhi keperluan pekerjaan masa hadapan ini.

Tegas beliau lagi, dari sudut berbeza pula, aspirasi ESG ini juga memerlukan keberanian kerajaan untuk mewujudkan rangka dasar dan insentif lebih kondusif.

Tinggal lagi sejauh manakah komitmen menteri Kabinet dan pegawai tadbir yang berada dalam struktur pemerintahan negara untuk memahami aspirasi disuarakan Perdana Menteri dan merealisasikannya menjadi kenyataan.

Jika perancangan dinyatakan Perdana Menteri dapat dilaksana sepenuhnya, manakala tiada gugatan diberikan ke atas pemerintahan beliau, ada kemungkinan besar kita akan melihat FBM KLCI menunjukkan peningkatan berterusan tahun ini.

Penulis adalah Profesor Madya di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM)
 
Sumber: Berita Harian, 7 Mac 2022

Tarikh Input: 24/03/2022 | Kemaskini: 28/03/2022 | syazmer

PERKONGSIAN MEDIA

SEKOLAH PERNIAGAAN DAN EKONOMI UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397697777
-
SXDdOAB~