Syor Pengeluaran Khas KWSP RM10,000 Bersasar | SEKOLAH PERNIAGAAN DAN EKONOMI UPM
» ARTIKEL » Syor pengeluaran khas KWSP RM10,000 bersasar

Syor pengeluaran khas KWSP RM10,000 bersasar

KUALA LUMPUR: Ahli ekonomi menyarankan, agar pengeluaran khas caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 seperti diumumkan kerajaan semalam, dilaksanakan secara bersasar.

 
Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Muhammad Daaniyall Abd Rahman, berkata pengeluaran khas itu wajar ditumpukan kepada individu yang masih belum bekerja dan mempunyai jumlah nilai ambang simpanan yang munasabah untuk meneruskan kelangsungan hidup pada masa depan, terutama selepas usia persaraan.

Beliau menyifatkan, pendekatan pengeluaran simpanan KWSP secara pukul rata adalah tidak digalakkan kerana ia boleh memberi kesan jangka panjang yang tidak diingini pada masa depan.

"Pengeluaran KWSP untuk kali keempat ini adalah satu langkah yang sukar dibuat oleh kerajaan dalam usaha mengimbangi jurang fiskal semasa," katanya kepada BH.
 
Beliau menjelaskan, harga minyak yang melonjak tinggi sejak krisis peperangan Ukraine dan Russia menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung kos subsidi tinggi bagi memastikan harga bahan api di pasaran tidak akan mempengaruhi kenaikan harga barangan dan perkhidmatan lain dengan cara yang mendadak.

"Sekiranya subsidi ini dirasionalisasikan dalam jangka masa pendek, dikhuatiri kesan domino akan berlaku yang menyebabkan kenaikan harga barangan akan terus berlaku tanpa kawalan," katanya.
 
Sementara itu, penganalisis ekonomi dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata kebenaran pengeluaran itu sedikit sebanyak memberikan suntikan kecairan tunai kepada ekonomi domestik melalui perbelanjaan pengguna.

Beliau berkata, pengeluaran itu juga perlu digunakan dengan bijak untuk pencarum yang memerlukan, manakala ahli yang tiada masalah kewangan tidak perlu untuk berbuat demikian.

"Jutaan ringgit yang akan disuntik ke dalam ekonomi domestik daripada pengeluaran ini dijangka digunakan untuk menampung kelangsungan hidup, selain persediaan menyambut bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri yang akan tiba tidak lama lagi.

"Bagaimanapun, dengan pengeluaran khas ini, kita tidak boleh mengharapkan dividen untuk 2022 akan menjadi lebih tinggi. Ini disebabkan oleh pengurangan jumlah terkumpul serta pemulihan ekonomi yang masih diancam varian baharu COVID-19, selain kesinambungan peperangan Russia dan Ukraine," katanya.
 
Sumber: Berita Harian, 17 Mac 2022

Tarikh Input: 28/03/2022 | Kemaskini: 04/04/2022 | syazmer

PERKONGSIAN MEDIA

SEKOLAH PERNIAGAAN DAN EKONOMI UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397697777
0397697777
-
BVLeLA:11:09