Setuju Tubuh Jawatankuasa Task Force Negara - Pakar | SEKOLAH PERNIAGAAN DAN EKONOMI UPM
» ARTIKEL » Setuju tubuh Jawatankuasa Task Force Negara - Pakar

Setuju tubuh Jawatankuasa Task Force Negara - Pakar

Kuala Lumpur: Kadar kenaikan harga barangan asas dan keperluan dalam pasaran tempatan kini mengundang kerisauan rakyat Malaysia.

Susulan itu semalam, Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr Ibrahim Ali mengutarakan cadangan supaya kerajaan dapat menubuhkan Jawatankuasa Task Force Negara bagi mengawal harga barang.

 
Cadangan dikemukakan beliau menerima pelbagai maklum balas termasuklah pakar ekonomi yang turut bersetuju dengan saranan berkenaan.

Menurut Penganalisis Ekonomi Putra Business School (PBS), Profesor Madya di Sekolah Perniagaan Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, beliau bersetuju dengan cadangan dikemukakan bagi mewujudkan Jawatankuasa Task Force Negara.

"Bagaimanapun, jawatankuasa terbabit harus disusuli juga dengan kerjasama daripada agensi lain seperti Majlis Keselamatan Makanan dan Pemakanan Kebangsaan serta Majlis Tindakan Ekonomi Negara.
 
"Hal ini kerana kita tidak mahu wujudnya pertindihan usul serta cadangan selain memastikan cadangan diberikan terbabit bersifat jangka masa pendek atau panjang," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kenaikan harga barangan adalah berikutan faktor dalaman dan luaran.

Katanya, sekiranya kerajaan ingin mengawal harga pelbagai barangan, banyak subsidi terpaksa dibelanjakan dan peraturan baru mungkin akan dikenakan.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Fakarudin Kamarudin pula berkata, dia tidak menolak negara sedang berdepan peningkatan kadar inflasi.

"Bagaimanapun, peningkatan kadar buat masa ini hanya sederhana iaitu sekitar paras dua peratus berbanding tahun lalu.

"Justeru, pada pandangan saya, Malaysia tidak perlu terlalu cemas akan berlaku hiperinflasi seperti yang berlaku pada tahun 2008 yang mana kadar inflasi Malaysia mencatatkan bacaan tinggi iaitu 8.5 peratus.

"Peningkatan inflasi kini adalah lebih dipengaruhi oleh inflasi teras iaitu peningkatan harga makanan," katanya.

Menurutnya, dengan adanya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Ehwal Pengguna (KPDNHEP), apa yang perlu dipertingkatkan buat masa ini adalah strategi yang lebih hebat bagi meningkatkan ekonomi tempatan selepas pandemik Covid-19.
 
Sumber: Harian Metro, 27 Mac 2022.

Tarikh Input: 29/03/2022 | Kemaskini: 04/04/2022 | syazmer

PERKONGSIAN MEDIA

SEKOLAH PERNIAGAAN DAN EKONOMI UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397697777
-
SXEUSAH~