[PERSPEKTIF] Malaysia Sebagai 'pollution Haven' | SEKOLAH PERNIAGAAN DAN EKONOMI UPM
» ARTIKEL » [PERSPEKTIF] Malaysia sebagai 'pollution haven'

[PERSPEKTIF] Malaysia sebagai 'pollution haven'

 

Isu lambakan sisa plastik di negara ini menjadi topik perbincangan hangat ketika ini.


Penyelidikan oleh Greenpeace Malaysia mendedahkan, negara ini telah menjadi tapak lambakan untuk kitar semula plastik dari lebih 19 buah negara, termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia.

Di dalam bidang pengajian ekonomi pembangunan dan alam sekitar, lambakan sisa plastik ini berkait rapat dengan pollution haven hypothesis. Ia merujuk situasi di mana negara-negara maju “mencemar” alam sekitar di negara-negara sedang membangun melalui pemindahan operasi pengeluaran.

Adakah Malaysia boleh dikategorikan sebagai pollution haven?

 

Data semasa dan kajian-kajian terdahulu menunjukkan kecenderungan Malaysia menjadi sebagai sebuah negara pollution haven.

Menurut laporan dalam Los Angeles Times seperti yang diulas semula oleh Astro Awani, sebahagian besar sisa plastik yang tertimbun di Pelabuhan Klang, Selangor adalah berasal dari Amerika Syarikat. Menurut data kerajaan AS, Malaysia mengimport lebih 192,000 tan metrik sisa plastik pada 10 bulan pertama tahun lalu, sekali gus mencatat kenaikan sebanyak 132 peratus berbanding import tahun lepas. Ini adalah contoh kesan dalam bentuk pencemaran langsung.

Malaysia juga terkesan daripada pencemaran tak langsung akibat daripada proses pengeluaran. Ada tiga mekanisma pengeluaran yang menyumbang kepada pencemaran tak langsung.

Pertama, negara-negara maju memindahkan operasi pengeluaran mereka ke Malaysia melalui pelaburan langsung asing. Contohnya, kilang yang sudah beroperasi beberapa tahun di negara maju dan tidak lagi efisyen dipindahkan ke Malaysia. Kajian terdahulu menunjukkan Jepun adalah salah sebuah negara yang mengunapakai kaedah ini.

Kedua, negara-negara maju menjual barang modal dan barang penggunaan terpakai ke Malaysia. Jentera dan kereta terpakai yang tidak lagi mesra alam sekitar banyak dieksport ke Malaysia. Di Afrika, negara-negara Eropah mengeksport bas yang usianya melebihi 5 tahun.

Ketiga, Malaysia mengimport bahan mentah yang mengandungi bahan pencemaran yang tinggi seperti kandungan karbon dan sisa pepejal. Bahan mentah ini diproses di Malaysia untuk menghasilkan barangan lain.

Dari perspektif perancangan ekonomi, Malaysia perlu mengira ‘jejak ekologi’ bagi setiap barangan yang dihasilkan. Bagi setiap produk yang dihasilkan, kita perlu mengetahui kandungan pencemaran dan penggunaan sumber alam semulajadi seperti air dan bahan api. Jika produk yang dihasilkan mengandungi nilai karbon yang tinggi, kita perlu tahu adakah ianya dieksport atau digunakan dalam negara.

 

oleh Dr Anitha Rosland, Jabatan Ekonomi, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan

 

Capaian artikel asal di sini 

Tarikh Input: 03/01/2019 | Kemaskini: 03/01/2019 | nurzatul

PERKONGSIAN MEDIA

SEKOLAH PERNIAGAAN DAN EKONOMI UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397697777
-
SXDdOAI~