Perlu Tambah Baik Moratorium | SEKOLAH PERNIAGAAN DAN EKONOMI UPM
» ARTIKEL » Perlu tambah baik moratorium

Perlu tambah baik moratorium

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan tujuh pakej rangsangan ekonomi dan bantuan bernilai RM380 bilion.

 

Baru-baru ini, Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) merupakan pakej rangsangan kelapan diumumkan di era pandemik Covid-19 ini.

 

Nama Pemulih juga adalah selari dengan nama pelan yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini iaitu Pelan Pemulihan Negara (PPN).

 

Pakej Pemulih bernilai RM150 bilion dan merangkumi suntikan langsung fiskal kerajaan sebanyak RM10 bilion. Ini menjadikan jumlah keseluruhan pakej rangsangan ekonomi dan bantuan yang diumumkan oleh kerajaan adalah berjumlah RM530 bilion iaitu lebih daripada separuh trillion.

 

Sekiranya dicampur dengan Belanjawan 2021 iaitu RM322.5 bilion, maka jumlah keseluruhan adalah bernilai RM852.5 bilion.

 

Ini merupakan perbelanjaan terbesar dalam sejarah negara iaitu dari Mac 2020 sehingga Disember 2021 bagi berhadapan cabaran ekonomi terbesar yang dihadapi  selepas kemerdekaan yang turut melibatkan dua krisis yang berlaku secara serentak pada ketika ini iaitu krisis kesihatan dan ekonomi.

 

Perkara ini berlarutan lebih 15 bulan dan ia akan berterusan sehingga tercapai sepenuhnya tiga indikator yang ditetapkan oleh kerajaan melalui PPN iaitu bilangan kes harian Covid-19, kadar penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU) dan peratusan rakyat yang telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.

 

Melalui Pemulih, ia berjaya memberikan nafas kelegaan kepada semua rakyat dengan bantuan lebih menyeluruh mencakupi semua aspek penting yang perlu diberikan penekanan dalam konteks Meneruskan Agenda Prihatin Rakyat, Menyokong Perniagaan dan Meningkat Vaksinasi.

Pemulih dilihat sebagai satu inisiatif serampang dua mata iaitu dari satu kaca mata, ia mengangkat beban yang dipikul oleh rakyat antaranya dalam konteks penangguhan pembayaran pinjaman, menangani isu kenaikan harga minyak masak serta memberikan diskaun bayaran bil elektrik.

 

Dari sudut lain selepas kerajaan mengangkat beban sebahagian besar pinjaman yang dipikul oleh rakyat semasa tempoh enam bulan ini, maka kerajaan memberikan bantuan tunai kepada rakyat yang sebahagian besarnya terkesan dengan pandemik Covid-19 dan berkurangan sumber pendapatan untuk berbelanja khususnya membeli barangan keperluan harian dan makanan.

 

Saya memberikan fokus kepada usaha mengangkat beban paling utama  ditanggung oleh rakyat pada ketika ini dalam berhadapan kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 iaitu memberikan moratorium selama enam bulan melalui kerjasama pihak bank kepada semua peminjam individu, sama ada dari golongan B40, M40 atau T20 dan usahawan mikro tanpa sebarang syarat dan tanpa sebarang dokumentasi diperlukan.

 

Ini merupakan antara kelegaan terbesar dirasai rakyat pada ketika ini yang tertekan dengan pinjaman ditanggung oleh mereka dalam keadaan pengurangan pendapatan dan kehilangan pekerjaan.

 

Namun, dalam pelaksanaan moratorium kali ini, beberapa penambahbaikan perlu diberikan perhatian oleh kerajaan melibatkan empat perkara utama. Pertama, walaupun bank tidak akan mengenakan faedah terkompaun atau penalti lewat bayar kepada peminjam, namun ia dikatakan masih bukan sifar kadar faedah.

 

Pada ketika ini, rakyat berhadapan kesukaran amat luar biasa dan memerlukan lebih banyak pertolongan dan bantuan daripada kerajaan agar dapat mengangkat semua faedah dalam moratorium yang diberikan selama enam bulan ini.

 

Pelaksanaan ini juga dijangka tidak memberikan kesan besar kepada institusi perbankan dengan mengambil kira impak pelaksanaan moratorium semasa PKP 1.0 yang juga selama enam bulan iaitu dari 1 April 2020 hingga 30 September 2020 dan bank masih memperoleh keuntungan bersih bagi 2020. Terdapat juga bank yang mana keuntungan bersih mereka pada 2020 adalah lebih daripada RM6 bilion.

 

Walaupun keuntungan mereka berkurangan pada 2020 jika dibandingkan dengan  2019, namun pada ketika rakyat amat tertekan dengan masalah kewangan, pelaksanaan moratorium enam bulan tanpa sebarang syarat, tanpa sebarang dokumentasi dan ia perlu ditambah tanpa sebarang faedah agar usaha daripada kerajaan dilihat bertepatan dengan keadaan semasa yang amat mencabar.

KOPERASI.

 

Kedua, kerajan perlu mengadakan rundingan dengan institusi kewangan bukan bank yang tidak terikat dengan pelaksanaan moratorium seperti syarikat kredit, koperasi dan lain-lain. Perkara ini penting disebabkan  ramai kumpulan B40 dan M40 termasuk usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang membuat pinjaman dengan institusi kewangan bukan bank walaupun sebahagian besar pinjaman adalah berskala kecil.

 

Ketiga, bayaran penggunaan kad kredit. Bank akan menawarkan moratorium enam bulan untuk bayaran ansuran semua kemudahan pinjaman kecuali kad kredit.

 

Oleh yang demikian, disebabkan kadar faedah kad kredit adalah amat tinggi iaitu sekitar 17 hingga 18 peratus, maka bank tanpa menunggu perlu segera menukar baki tunggakan kad kredit kepada pinjaman atau pembiayaan dengan kadar keuntungan atau faedah dikurangkan menjadi empat hingga lima peratus sahaja.

 

Ia akan dapat mengurangkan kadar faedah sekurang-kurangnya sehingga 12 hingga 13 peratus dan membantu meringankan beban rakyat.

 

Terakhir, salah satu perkara penting yang perlu diberikan pertimbangan oleh kerajaan dan bank yang mana sebelum ini pelaksanaan moratorium tidak diberikan kepada akaun pembiayaan yang sudah melebihi tunggakan 90 hari. Perkara ini perlu dipertimbangkan semula disebabkan mereka yang tidak mampu untuk membayar ansuran sebelum pelaksanaan PKP 3.0, maka tentu sekali mereka juga hampir pasti sukar untuk membayar ansuran pada ketika ini.

 

Oleh yang demikian, kerajaan dan bank boleh pertimbangkan untuk diberikan moratorium sekurang-kurangnya selama tiga bulan kepada mereka yang mempunyai tunggakan melebihi 90 hari.

 

Hal ini disebabkan oleh semakin tinggi tunggakan bayaran ansuran mereka maka semakin tinggi tekanan dan beban yang ditanggung. Usaha memberikan moratorium sekurang-kurangnya tiga bulan ini sedikit sebanyak boleh mengurangkan tekanan dan beban yang ditanggung oleh mereka.

 

Walaupun diakui bank tidak menerima ansuran daripada mereka selama lebih 90 hari, namun dalam situasi luar biasa ini bank boleh berkorban sedikit untuk memberikan pertimbangan bagi membantu kumpulan ini.

 

Selain itu, kerajaan juga memperluaskan penangguhan pembayaran termasuk dalam konteks pinjaman pendidikan iaitu dengan memberikan moratorium bersasar selama tiga bulan kepada peminjam-peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), menangguhkan bayaran balik Pinjaman Pelajaran Persekutuan di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan bayaran tuntutan ganti rugi penerima biasiswa Persekutuan sehingga enam bulan, menangguhkan bayaran balik pinjaman pelajaran Mara untuk tempoh tiga bulan atau penjadualan semula bayaran balik pinjaman dengan ansuran bulanan serendah RM100 selama 12 bulan serta menangguhkan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) selama tiga bulan.

 

Pemberian diskaun elektrik juga sesuatu yang amat dinantikan oleh rakyat pada ketika ini dan kerajaan telah mengambil tindakan yang tepat dengan memberikan diskaun bil elektrik antara lima hingga 40 peratus selama tiga bulan berdasarkan kadar penggunaan elektrik ditetapkan.

 

Fokus kerajaan seterusnya dalam mengangkat beban rakyat adalah  melaksanakan pengawalan harga barang. Di saat rakyat berhadapan  masalah kewangan, maka tidak sepatutnya berlaku kenaikan harga barang. Justeru, kerajaan mengambil langkah bertepatan dalam melaksanakan program harga kawalan berasaskan nilai ambang Crude Palm Oil agar minyak masak botol lima kilogram dapat dikawal supaya tidak melebihi RM30 sebotol serta peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion agar rakyat masih dapat membeli minyak masak pek polibeg satu kilogram pada harga bersubsidi RM2.50.

 

Ia akan dapat membantu rakyat  khususnya penjaja kecil yang kerap menggunakan minyak masak dalam perniagaan termasuk mereka yang terjejas pendapatan mereka.

 

Penulis merupakan Profesor Madya Dr. Anuar Shah Bali Mahomed ialah Pensyarah Kanan di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM).

#UPMClipping #rakyat #moratorium #PUTRAClipping #UtusanMalaysia

 

Artikel diterbitkan: https://www.utusan.com.my/.../perlu-tambah-baik-moratorium/

 

Tarikh Input: 13/07/2021 | Kemaskini: 13/07/2021 | nurzatul

PERKONGSIAN MEDIA

SEKOLAH PERNIAGAAN DAN EKONOMI UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397697777
-
SXEXVAb~