Penguasaan Dua Pertiga BN Stabilkan Ekonomi Johor | SEKOLAH PERNIAGAAN DAN EKONOMI UPM
» ARTIKEL » Penguasaan dua pertiga BN stabilkan ekonomi Johor

Penguasaan dua pertiga BN stabilkan ekonomi Johor

 

 
KUALA LUMPUR: Kemenangan dua pertiga Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri Johor akan memberi impak positif kepada kestabilan ekonomi negeri itu, kata penganalisis.
 
Pensyarah Kanan Putra Business School, Prof Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, kestabilan politik dan ekonomi akan memberi kesan yang positif terhadap keyakinan pelabur di peringkat domestik dan antarabangsa.

Beliau menegaskan, kerajaan yang stabil akan memastikan segala dasar dan inisiatif untuk menarik pelaburan dapat dilaksanakan dan komitmen yang penuh dapat diberikan oleh kerajaan negeri sepanjang tempoh pemerintahan tanpa gangguan politik yang tidak perlu.

"Antara aspek ekonomi yang saya lihat perlu diberi keutamaan kepada rakyat Johor apabila bermulanya pemerintahan BN ialah isu pokok dan dekat di hati rakyat negeri ini iaitu menangani kos sara hidup yang tinggi, isu peluang pekerjaan yang menjanjikan gaji yang lebih tinggi dan perumahan mampu milik.
 
"Selain itu, memastikan limpahan ekonomi sampai ke segenap negeri dan tidak hanya bertumpu kepada bandar besar sahaja. Saya juga melihat keputusan pilihanraya ini mencerminkan hasrat rakyat Johor yang mahukan kestabilan ekonomi dan politik," katanya kepada BH.

Sementara itu, penganalisis ekonomi dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata harapan rakyat adalah tinggi supaya BN boleh memberikan angin perubahan kepada masalah pendapatan dan kenaikan kos taraf hidup yang membelenggu semua lapisan masyarakat.
 
"Rumusan dari padakemenangan BN di Johor dengan manifesto mengembalikan kestabilan politik supaya isu-isu ekonomi terutama pendapatan rakyat yang masih terumbang ambing kesan dari pandemik, banjir serta kadar inflasi yg memberi tekanan kepada harga barangan makanan, harga bahan api, gas petroleum cecair (LPG), minyak masak dan lain-lain lagi.

Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Muhammad Daaniyall Abd Rahman, berkata mandat besar yang diberikan oleh rakyat kepada kerajaan baharu Johor memberikan satu isyarat yang penting kepada keperluan mewujudkan kestabilan politik dalam negara.

"Dalam konteks ekonomi pula, kestabilan politik dan keutuhan sistem tadbir urus memainkan peranan yang penting sebagai indikator utama untuk meningkatkan keyakinan pelabur dan memastikan kebolehlaksanaan inisiatif pembangunan yang sudah dirancang bagi mencapai status negara berpendapatan tinggi.

"Konflik politik perlu segera diatasi dengan berhemah supaya proses pemulihan ekonomi dapat diteruskan tanpa sebarang gangguan dan memastikan kebajikan rakyat terus terbela," katanya.
 
Sumber: Berita Harian, 13 Mac 2022.

Tarikh Input: 28/03/2022 | Kemaskini: 04/04/2022 | syazmer

PERKONGSIAN MEDIA

SEKOLAH PERNIAGAAN DAN EKONOMI UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397697777
-
SXDcVAB~