Masalah Dan Cabaran IKS Dalam Operasi Patuh Syariah | FAKULTI EKONOMI DAN PENGURUSAN
» ARTIKEL » Masalah Dan Cabaran IKS Dalam Operasi Patuh Syariah

Masalah Dan Cabaran IKS Dalam Operasi Patuh Syariah

Oleh Prof Madya Dr Fauziah Mahat,

Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia



KUALA LUMPUR (Bernama) -- Produk patuh Syariah bermaksud produk berstruktur Islam yang memastikan semua elemen dan transaksi mestilah mengikut landasan hukum syarak.

Penstrukturan produk ini mestilah selari dengan ciri-ciri patuh Syariah yang mana produk ini tidak melibatkan unsur-unsur yang diharamkan dan bercanggah dengan hukum syarak seperti riba, gharar (keraguan) dan perjudian.

Konsep patuh Syariah juga perlu digunakan dalam amalan pengurusan kewangan seperti kos operasi perniagaan dan pelaburan. Sebagai contoh, kos untuk memulakan perniagaan mestilah dari sumber yang halal dan transaksi pelaburan mestilah tidak melibatkan faedah yang bercanggah dengan Syariah.

Dari segi operasi patuh Syariah dalam penternakan, terdapat aspek yang perlu ditekankan iaitu aspek penyembelihan. Berdasarkan garis panduan penyembelihan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), haiwan ternakan mestilah diletakkan dalam posisi menghadap kiblat semasa proses penyembelihan dan sewaktu penyembelihan hendaklah menggunakan pisau yang tajam dan bersih.

Ia mestilah dilakukan dengan pantas tanpa mengangkat mata pisau. Setiap penyembelihan perlu dimulakan dengan Bismillah selaras dengan firman Allah dalam Surah al-An’am, ayat 118, “Maka makanlah haiwan (yang halal) yang disebut dengan nama Allah ketika menyembelihnya, jika kamu beriman kepada ayat-ayatnya.”



PENTERNAKAN 

Oleh itu, cara penternakan yang suci dan bersih dan teknik penyembelihan yang mematuhi syarak perlu diamalkan dalam operasi patuh Syariah.

Manakala, operasi patuh Syariah dalam akuakultur pula bermaksud proses ternakan itu mematuhi amalan Syariah dari kolam ternakan hinggalah kepada pengguna.

Dalam proses tersebut, kandungan makanan yang diberikan kepada ternakan mestilah suci dan bersih, persekitaran kolam yang bersih daripada najis haiwan lain dan rawatan air buangan perlulah dilaksanakan.

Menurut Majlis Fatwa Malaysia (2006), ikan ternakan adalah haram untuk dimakan oleh pengguna jika mereka sengaja diternak dalam air najis (kotoran) atau diberi makan kepada ikan seperti daging khinzir, bangkai dan lain-lain.

Industri Kecil dan Sederhana (IKS) telah meningkatkan pendapatan negara sejak beberapa tahun yang lalu. Hal ini dapat dilihat dalam ekonomi Malaysia yang terus berkembang pada tahun 2017 dengan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada harga semasa yang mencapai RM1.353 trilion.

Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 9.9 peratus daripada RM1.231 trilion pada tahun 2016.



CABARAN IKS

Walau bagaimanapun, timbulnya masalah dan cabaran IKS dalam menjalankan operasi patuh Syariah di dalam syarikat mereka, terutamanya yang melibatkan penternakan dan akuakultur.

Seorang penternak ikan keli di Taman Agro Teknologi Pertanian Bestari Jaya di Kuala Selangor, Encik Mohd Fadzil Ibrahim, mendakwa bahawa ada ikan keli yang diternak oleh orang bukan Muslim memberi makanan seperti perut ayam, bahan buangan, bangkai dan organ dalaman khinzir kepada ternakan mereka.

Baru-baru ini, pihak Universiti Putra Malaysia (UPM), yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Fauziah Mahat dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, telah mengadakan sebuah bengkel pungutan data kajian berkaitan dengan kewangan dan operasi patuh Syariah di kalangan IKS dalam bidang penternakan dan akuakultur di Zon Utara (Alor Setar, Kedah).

Bengkel tersebut telah dijalankan di Hotel Grand Alora, Alor Setar, Kedah pada 15 Januari 2019 yang lalu. Seramai lebih daripada 50 orang dari IKS dalam bidang penternakan dan akuakultur telah menghadiri bengkel ini.

Hasil daripada kajian dalam bengkel tersebut, pelbagai masalah dan cabaran telah diutarakan oleh para pengusaha IKS dalam bidang penternakan. Antaranya ialah masalah sukar memperolehi sumber makanan untuk ternakan mereka yang halal dan toyibban.

Contohnya, mereka memperolehi sumber makanan ternakan itu dari pembekal bukan Muslim di mana bahan yang digunakan untuk makanan itu adalah meragukan. Selain daripada itu, isu ternakan yang dilepaskan seperti ternakan lembu dan kambing bebas meragut tanaman milik orang lain.

Ini juga dipertikaikan oleh pengusaha IKS tersebut sama ada pemilik tanaman itu tidak menghalalkan ternakan-ternakan itu memakan tanaman mereka.



TEMUBUAL PENTERNAK

Fauziah dan penyelidik-penyelidik yang lain juga berkesempatan untuk menemubual seorang penternak rusa, iaitu Nor Azhar Mohd Noor, dari Semeliang Agro Farm di Kuala Nerang, Kedah.

Ketika melawat tempat itu, Nor Azhar mengutarakan beberapa masalah tentang wujudnya daging rusa palsu yang dibekukan dalam pasaran.

Daging rusa palsu yang dimaksudkan beliau itu sebenarnya bukanlah daging rusa tetapi adalah merupakan daging kerbau yang diimport.

Nor Azhar memberi contoh daging rusa palsu yang dijual di pasaran kebanyakannya daging rusa beku yang dijual tanpa tulang. Beliau juga mengatakan bahawa bukan mudah untuk mendapatkan daging rusa yang sepenuhnya sepertimana daging-daging rusa beku yang diimport dari luar negara.

Beliau turut mengatakan bahawa timbangan ke atas daging rusa palsu yang diimport itu biasanya tidak tepat. Ini sudah menunjukkan yang proses pembungkusan itu sendiri tidak mematuhi Syariah.



AMBIL TINDAKAN

Menurut Nor Azhar lagi, persatuan penternakan rusa telah pun mengambil tindakan dan membuat kajian makmal ke atas daging rusa palsu yang diimport itu dan terbukti ianya bukanlah daging rusa, sebaliknya ia adalah dari daging kerbau.

Beliau juga menunjukkan beberapa bukti yang lain berkenaan dengan daging beku itu merupakan daging kerbau yang diimport dan diseludup masuk ke Malaysia secara haram.

Contohnya asas penyembelihan daging tersebut juga meragukan kerana tidak tahu siapa sebenarnya pembekal daging rusa beku yang palsu itu.

Keadaan ini amat membimbangkan kerana yang membeli dan memakan dan juga yang mengedar daging rusa palsu itu adalah di kalangan orang Islam tetapi pembekalnya adalah dari orang bukan Islam. Di sini juga merupakan salah satu dari faktor patuh Syariah yang perlu dititikberatkan oleh semua orang Islam.

Namun, daging rusa palsu ini dijual secara berleluasa terutamanya pada musim perayaan melalui media sosial seperti dalam Facebook, Instagram dan sebagainya dengan harga yang murah.

Kehadiran daging rusa palsu di pasaran ini, mendatangkan kerisauan kepada semua pihak lebih-lebih lagi kepada para pengguna dan juga penternak rusa dari kalangan orang-orang Islam.



BIDANG AKUAKULTUR

Seterusnya, pengusaha IKS dalam bidang akuakultur juga mengutarakan masalah dan cabaran dalam operasi patuh Syariah. Antara masalah yang dihadapi oleh mereka ialah sumber makanan yang diberikan kepada ternakan ikan itu adalah tidak suci dan bersih di mana terdapat sumber makanan dari organ dalaman khinzir.

Ini disebabkan oleh makanan ikan yang halal, suci dan bersih adalah terhad dalam industri perikanan. Oleh itu, adalah sukar bagi penternak ikan untuk mendapatkan makanan-makanan tersebut. Ini adalah salah satu masalah yang dihadapi oleh penternak ikan dalam mematuhi Syariah di sepanjang operasi perniagaan mereka.

Selain masalah dan cabaran dalam operasi patuh Syariah, masalah dari segi kewangan juga membelenggu para pengusaha. Masalah sumber pembiayaan kewangan yang terhad untuk pengusaha IKS dari bank SME dan bank Islamik menyukarkan mereka untuk mendapat pembiayaan secara Islamik. Pengusaha IKS juga sukar untuk mendapat sijil Halal dari pihak tertentu.

Masalah dan cabaran ini akan menyebabkan hilangnya keyakinan para pengusaha untuk memulakan perniagaan.



KESIMPULAN

Kesimpulannya, para pengusaha IKS dalam bidang penternakan dan akuakultur masih menghadapi pelbagai masalah dan cabaran dalam memastikan perniagaan mereka mematuhi hukum syarak secara keseluruhannya.

Oleh itu, pihak berwajib yang terlibat dalam bidang penternakan dan akuakultur hendaklah bekerjasama dalam usaha untuk menjadikan perniagaan itu patuh Syariah.

Selain itu, para pengusaha IKS juga perlu mengambil berat tentang syarat patuh Syariah dan menambahkan ilmu pengetahuan tentang patuh Syariah agar pengguna tidak lagi merasa ragu-ragu dengan produk Muslim yang halal dan toyyiban pada masa akan datang.

 

Capaian ke artikel penuh rujuk di sini 

Tarikh Input: 05/03/2019 | Kemaskini: 05/03/2019 | nurzatul

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI EKONOMI DAN PENGURUSAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397697600
0389486188
B1566448525