Kenaikan Gaji Minimum Penjawat Awam Kepada RM1,800 Munasabah | SEKOLAH PERNIAGAAN DAN EKONOMI UPM
» ARTIKEL » Kenaikan gaji minimum penjawat awam kepada RM1,800 munasabah

Kenaikan gaji minimum penjawat awam kepada RM1,800 munasabah

Kuala Lumpur: Kenaikan gaji minimum penjawat awam kepada RM1,800 munasabah dengan keadaan semasa terutama rakyat berdepan peningkatan kos sara hidup dan harga barangan semakin tinggi.


Penjawat awam, Nurul Huda Abdul Ghafar, 37, berkata, dia bersetuju seandainya kenaikan itu dilaksanakan berikutan kadar gaji minimum pada masa ini tidak sesuai lagi untuk penduduk negara membangun seperti Malaysia.
 
"Bagi saya wajar gaji sekarang dinaikkan setaraf dengan kenaikan harga barang apatah lagi macam saya yang duduk di bandar berdepan kos sara hidup tinggi dan mempunyai tiga anak.

"Jujurnya pendapatan saya cukup-cukup makan dan hanya boleh membuat sedikit simpanan sahaja," katanya mengulas cadangan kenaikan gaji minimum baharu daripada RM1,200 kepada RM1,800 sebulan.

Senada dengan itu, Siti Rapisah Omar Othman, 39, pula berkata, pada masa ini kos sara hidup meningkat secara keseluruhannya bukan setakat di bandar besar, malah di luar bandar juga turut merasai kesannya.
 
"Pada saya cadangan ini patut dilaksanakan dan disokong bagi membantu penjawat awam yang terkesan dengan faktor kenaikan harga selari dengan kenaikan harga barangan keperluan harian dan persekolahan anak-anak dan sara hidup seperti kenderaan dan tempat tinggal yang turut sama mengalami kenaikan.

"Pertimbangan bagi melaksanakan kenaikan gaji minimum ini adalah sangat perlu dan baik untuk membantu kelangsungan hidup penjawat awam," katanya.
 
Sementara itu, Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE) Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Ts Dr Anuar Shah Bali Mahomed berkata, beliau menyambut baik kenaikan itu yang bukan hanya membantu penjawat awam malah kelangsungan peniaga terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

"Walaupun akan berlaku dari segi pertambahan perbelanjaan kerajaan, namun kalau kita dapati wang disalurkan kepada penjawat awam itu akan dibelanjakan seperti membeli barangan keperluan harian dan sekolah.

"Sebenarnya berlaku pusingan di situ bermakna kenaikan itu bukan sahaja membantu penjawat awam tetapi pada masa sama peniaga termasuk PKS.

"Jadi, memang wajar gaji minimum penjawat awam dinaikkan sesuai dengan situasi semasa sekarang cuma perlu ambil kira kemampuan kerajaan dan sekiranya kerajaan tidak mampu menaikkan terus RM1,800 mungkin boleh mulakan dengan RM1,500 itu pun satu permulaan baik," katanya.

Sebelum ini, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengulangi cadangan mereka supaya gaji minimum itu dinaikkan selepas mengambil kira situasi semasa.

Presidennya, Datuk Adnan Mat dilaporkan berkata, kenaikan itu munasabah dinilai kerajaan apatah lagi kali terakhir sistem saraan perkhidmatan awam disemak pada 2002 sedangkan kerajaan menetapkan gaji penjawat awam disemak setiap 10 tahun.

Katanya, sistem saraan yang baharu itu hendaklah boleh menampung keperluan penjawat awam supaya menerima gaji yang selesa, setimpal dengan kos perbelanjaan harian minimum yang juga berubah dengan (harga) barangan semakin meningkat.
 
Sumber: Harian Metro, 27 Mac 2022.

Tarikh Input: 29/03/2022 | Kemaskini: 13/04/2022 | syazmer

PERKONGSIAN MEDIA

SEKOLAH PERNIAGAAN DAN EKONOMI UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397697777
-
SXDdRAB~