Jaminan Kesejahteraan Warga Emas Dalam Perundangan Malaysia | SEKOLAH PERNIAGAAN DAN EKONOMI UPM
» ARTIKEL » Jaminan Kesejahteraan Warga Emas Dalam Perundangan Malaysia

Jaminan Kesejahteraan Warga Emas Dalam Perundangan Malaysia

Oleh : Profesor Dr. Rozanah Ab. Rahman
 
Setiap sistem perundangan negara bertujuan memberi jaminan kesejahteraan kepada individu, masyarakat dan negara. Setiap undang-undang yang digubal bertujuan mengekalkan ketenteraman dan mengawal aktiviti serta tindakan yang melampaui batas dan standard yang telah ditetapkan.

Sekiranya undang-undang dipatuhi, maka kita menjangkakan suatu kehidupan yang aman dan bebas daripada penganiayaan, penipuan, penindasan dan sebagainya.

Fasa penuaan penduduk Malaysia

Satu laporan kajian kemudahan dan perkhidmatan bagi menepati keperluan warga emas di Malaysia yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing), merumuskan 95 peratus warga emas masih mampu menyertai pekerjaan dengan adanya polisi program sesuai dalam persekitaran mesra usia, berbanding lima peratus warga emas yang sebenarnya memerlukan pendekatan kebajikan.

Jika dilihat kepada peratusan ini dan juga fenomena penuaan penduduk Malaysia, jelas bahawa Malaysia perlu bersedia dari sudut penyediaan dan penguatkuasaan undang-undang berkaitan warga emas ini, terutama golongan 95 peratus warga emas yang masih mampu menyertai pekerjaan dan masih boleh aktif menyumbang kepada ekonomi negara.

Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) secara terperinci, melibatkan penjanaan semula ekonomi, pengukuhan keselamatan, kesejahteraan dan inklusiviti, serta lonjakan kemampanan.

Bertemakan Malaysia makmur, inklusif dan mampan, antara fokus utama RMK12 adalah merancakkan pertumbuhan ekonomi, meningkatkan kesejahteraan keluarga malaysia, dan membasmi kemiskinan tegar dan merapatkan jurang pendapatan.

Memandangkan Malaysia sedang memasuki fasa penuaan penduduk, ini bermakna Malaysia akan menjadi negara tua menjelang Rancangan Malaysia Ke-14 (RMK14).

Mengikut unjuran Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)(2009), Malaysia akan mencapai status negara tua pada 2030 apabila penduduk berumur 60 tahun dan ke atas mencapai 15 peratus daripada jumlah penduduk.

Bukan sahaja di Malaysia, malah seluruh dunia juga memberikan tumpuan terhadap isu penuaan ini dalam pelbagai platform di peringkat persidangan antarabangsa.

Dasar PBB juga bertujuan memastikan kehidupan dan kesejahteraan di semua peringkat usia dalam matlamat pembangunan lestarinya, di bawah SDG (Sustainable Development Goal) 3, iaitu kesihatan dan kesejahteraan; dan SDG 11, iaitu menjadikan penempatan manusia sebagai inklusif, selamat, berdaya tahan serta lestari.

Mendepani Isu Penuaan di Malaysia

Menyedari hakikat ini, kerajaan telah mengambil langkah persediaan awal untuk menangani isu penuaan penduduk dengan penggubalan Dasar Warga Tua Negara pada 1995.

Manakala Dasar Warga Emas Negara 2011, dibentuk dengan merujuk Perlembagaan Persekutuan (Perkara 8), bahawa semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang.

Falsafah Dasar ini adalah warga emas mempunyai hak untuk menikmati kehidupan sejahtera dan boleh menyumbang kepada pembangunan negara. Apa yang jelas ialah, kerajaan komited mewujudkan warga emas berdikari, dengan mengoptimumkan potensi diri melalui penuaan sihat, positif, aktif, produktif dan menyokong, untuk kesejahteraan hidup dalam pembangunan negara.

Matlamat Dasar pula adalah mendayaupayakan individu, keluarga dan masyarakat dengan menyediakan perkhidmatan mesra warga emas yang cekap dan berkesan; serta membangunkan persekitaran yang memboleh dan membantu supaya warga emas hidup sejahtera, kerana warga emas adalah aset yang boleh terus menyumbang kepada pembangunan negara.

Selain Dasar Warga Emas 2011, kita juga ada Dasar Kesihatan Warga Emas Negara 2008. Kata kunci dasar ini penuaan sihat, aktif, produktif, dan penyediaan perkhidmatan penjagaan kesihatan optima. Matlamat Dasar pula adalah mencapai tahap kesihatan optima warga emas melalui perkhidmatan kesihatan menyeluruh dan bersepadu.

Seterusnya, sesuatu dasar itu sudah tentunya memerlukan pelan tindakan dan mempunyai objektif untuk dicapai. Justeru, antara objektif penting Pelan Tindakan Warga Emas Negara adalah membangun masyarakat prihatin mengenai penuaan dan meningkatkan penglibatan warga emas dalam masyarakat.

Dasar sedia ada inilah yang jelas membawa kepada perlunya perbandaran mesra usia. Menurut pertubuhan bangsa-bangsa bersatu, penuaan penduduk tidak pernah terjadi sebelum ini, dengan itu perlunya kewujudan bandar dan komuniti yang mesra usia.

Cabaran perundangan, menjamin kesejahteraan

Justeru, bagi semua aspek ini, persoalan penting apakah kita ada perundangan berkaitan? Perlu kita ingat, pengurusan warga emas buat masa sekarang bukan lagi hanya menjadi isu perkhidmatan sosial tetapi telah beralih kepada isu pembangunan aktif.

Daripada dasar dan pelan tindakan di atas, jika kita turun ke peringkat pemakaian undang-undang bagi hal ehwal warga emas ini, kita ada beberapa perundangan berkaitan yang digubal dan sedang berkuatkuasa.

Tiga aspek perundangan iaitu undang-undang pekerjaan, penjagaan kesihatan dan perbandaran mesra usia yang ada, hendaklah melihat kepada keterlibatan warga emas secara total dalam apa jua penambahbaikan undang-undang sedia ada.

Berkaitan agenda pekerjaan, di bawah RMK12, antara pelan tindakannya adalah meningkatkan penglibatan warga emas dalam pasaran buruh. Dengan itu, Pelan Strategik Kementerian Sumber Manusia 2020 hingga 2025 juga mensasarkan kepada peningkatan peluang pekerjaan kepada warga emas, selain wanita, belia, orang kurang upaya, orang asli dan lain-lain.

Ini memerlukan perancangan kementerian dalam memastikan golongan pesara yang mempunyai pengalaman untuk kembali bekerja atau memasuki pasaran buruh. Apabila warga emas menyertai pekerjaan, isu keselamatan dan kesejahteraan mereka mestilah dilindungi, dan kita ada undang-undang keselamatan sosial pekerjaan yang sangat penting dalam melindungi warga emas yang mahu menjalankan aktiviti pekerjaan sendiri.

Seterusnya, untuk warga emas boleh terus aktif dan produktif, mereka perlu ada kesihatan yang baik. Kerajaan memberi penjagaan kesihatan, rawatan dan ubatan kepada pesakit warga emas di semua hospital, klinik kesihatan, klinik luar bandar, dan klinik komuniti.

Terdapat juga undang-undang berkaitan penjagaan kesihatan yang mengawal selia kemudahan dan perkhidmatan jagaan kesihatan warga emas, iaitu Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta, 1998, yang mengawal selia dan mentadbir mana-mana premis (selain kemudahan jagaan kesihatan kerajaan) yang digunakan bagi menyediakan perkhidmatan jagaan kesihatan, termasuk hospital, klinik swasta dan rumah jagaan kejururawatan swasta.

Juga untuk memastikan penjagaan penuaan dilindungi daripada sebarang penyalahgunaan dalam sistem pengurusan dan membendung kes penganiayaan terhadap warga emas. Akta Pusat Jagaan 1993, contohnya, mengadakan peruntukan bagi pendaftaran, pengawalan dan pemeriksaan semua pusat jagaan warga emas.

Oleh itu, boleh kita katakan cabaran seterusnya adalah, seperti saranan PBB tentang perlunya kewujudan bandar dan komuniti yang mesra usia, bagi menyokong penuaan positif, untuk kesejahteraan hidup warga emas dalam pembangunan negara.

Secara ringkasnya, terdapat elemen penting bandar mesra usia yang mesti diambil kira, iaitu perumahan, pengangkutan, penyertaan sosial, penyertaan sivik dan pekerjaan, komunikasi dan maklumat, komuniti dan perkhidmatan kesihatan, dan juga ruang luar dan rekabentuk bangunan.

Sudah tentu undang-undang berkaitan perlu dinamik dan sekiranya ada penggubalan baharu atau penambahbaikan dibuat kepada undang-undang sedia ada, maka penguatkuasaannya diharap dapat dilaksanakan dengan jaya dan berkesan.

--

Profesor Dr. Rozanah Ab. Rahman merupakan pakar perundangan di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia.
 
Sumber: BERNAMA, 6 April 2022

Tarikh Input: 14/04/2022 | Kemaskini: 15/04/2022 | syazmer

PERKONGSIAN MEDIA

SEKOLAH PERNIAGAAN DAN EKONOMI UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397697777
-
SXDdEAO~