Impak Sentimen Netizen Kepada Pertumbuhan Ekonomi Gig Di Malaysia | SEKOLAH PERNIAGAAN DAN EKONOMI UPM
» ARTIKEL » Impak Sentimen Netizen Kepada Pertumbuhan Ekonomi Gig Di Malaysia

Impak Sentimen Netizen Kepada Pertumbuhan Ekonomi Gig Di Malaysia

Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Prof. Madya Dr. Nur Syazwani Mazlan, Prof. Dr. Rusmawati Said, Prof. Dr. Rahmita Wirza O.K. Rahmat dan Fatin Aimi Naemah Norazmi

Dalam era pendigitalan ekonomi, ekonomi gig telah menjadi sumber pertumbuhan utama dan banyak mempengaruhi penyusunan semula kegiatan ekonomi dan pekerjaan ke arah mencapai ekonomi yang lebih mampan. Kerajaan turut melaporkan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) 2021-2025 bahawa sektor ekonomi gig akan diberikan tumpuan utama bagi membantu pertumbuhan ekonomi baharu.

Kerajaan telah membentangkan pelan pemulihan jangka pendek (PENJANA) dan memperuntukkan RM75 juta untuk menyokong pertumbuhan ekonomi gig dan juga menjaga kebajikan pekerja ekonomi gig. Peruntukan sebanyak RM50 juta telah disalurkan di bawah dua program iaitu Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SEEIS) di bawah PERKESO dan Skim i-Saraan di bawah KWSP.

Sementara itu, baki peruntukan sebanyak RM25 juta pula disalurkan kepada program ‘Global Online Workforce (GLOW)’ di bawah Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) yang bertanggungjawab melatih rakyat Malaysia untuk bekerja dalam talian dengan memperoleh pendapatan melalui perkhidmatan di peringkat antarabangsa.

Ekonomi gig – sistem pasaran bebas

Ekonomi gig adalah satu sistem pasaran bebas yang memberi kebebasan kepada organisasi dan pekerja untuk menjalani kontrak kerja suka sama suka tanpa perlu menggajikan pekerja sepenuh masa.

Istilah ekonomi gig mula popular sejak dunia dilanda kegawatan ekonomi pada tahun 2008. Kegawatan ekonomi ini memberi kesan kepada dunia terutama Amerika Syarikat sehingga mencetuskan tren pendigitalan kerja menerusi kegiatan ekonomi perkongsian atau ‘sharing economy’.

Maka wujudlah platform perantara penyedia perkhidmatan digital seperti Uber, AirBnB dan Lyft yang menjadi asas kepada perkembangan ekonomi gig di Amerika Syarikat. Tidak terkecuali untuk Malaysia, ekonomi gig mula kelihatan kesannya di negara kita pada waktu itu namun, ia lebih bertumpu di sekitar Lembah Klang (Kuala Lumpur dan bandar sekitarnya).

Trend pekerjaan ekonomi gig

Berdasarkan data daripada Tenaga Buruh Malaysia, trend pekerjaan masa kini semakin ke arah pekerjaan gig atau pekerjaan bebas. Peratusan pekerjaan tidak formal atau ‘pekerja akaun sendiri’ telah meningkat daripada 17.4 peratus pada tahun 2008 kepada 19.4 peratus pada tahun 2018.

Kini, dengan proliferasi internet, ia telah membuka ruang dan peluang untuk syarikat – syarikat ‘start up’ seperti Grab, Foodpanda, Mycar, Lalamove dan banyak lagi untuk tumbuh bak cendawan tumbuh selepas hujan dan terus melebarkan jaringan ke seluruh pelusuk Malaysia.

Antara perkhidmatan yang cukup popular melibatkan ekonomi perkongsian ini adalah perkhidmatan penghantaran makanan seperti FoodPanda, GrabFood, Bungkusit dimana pekerjaan sebagai rider cukup popular dalam kalangan rakyat negara kita.

Perkembangan media sosial dan ekonomi gig

Kemunculan ekonomi gig ini seiring dengan perkembangan media sosial. Rangkaian sosial yang mula diperkenalkan kepada orang ramai pada tahun 1990-an dan terus berkembang sehingga era kini revolusi industri 4.0 telah memberi anjakan paradigma yang secara radikal mengubah cara komunikasi tradisional.

Ia memudahkan orang ramai untuk berhubung antara satu sama lain dan berkongsi maklumat dengan pantas. Antara laman media sosial yang popular ialah: Facebook, YouTube, Twitter, Instagram dan banyak lagi.

Menurut laporan Global Digital, jumlah pengguna media sosial aktif di seluruh dunia pada 2021 ialah 4.20 bilion bersamaan 53.6 peratus daripada populasi global dan platform sosial yang paling banyak digunakan di peringkat global ialah Facebook dengan 2,740 juta pengguna aktif diikuti oleh YouTube dan WhatsApp dengan masing-masing 2,291 juta dan 2,000 juta pengguna aktif.

Malaysia berada di kedudukan ke-16 dalam carta dunia untuk jumlah gabungan reaksi, komen dan perkongsian kepada jumlah peminat halaman dalam aplikasi Facebook.

Kejutan ekonomi gig di era digitalisasi sangat mempengaruhi pertumbuhan ekonomi negara. Penerimaan rakyat terhadap ekonomi gig menjadi penyumbang utama syarikat-syarikat ini untuk terus bertahan dan berdiri kukuh dalam jangka masa yang panjang.

Model perniagaan dalam ekonomi gig lebih bertumpu kepada pengguna dan perubahan perniagaan juga sering didorong oleh permintaan pengguna.

Komposisi pengguna dalam ekonomi gig merangkumi pelanggan yang menggunakan perkhidmatan gig dan juga pekerja atau peniaga dan vendor yang berkhidmat dalam perkhidmatan gig.

Pengguna di zaman ini banyak menggunakan laman sosial seperti Twitter, Facebook dan banyak lagi untuk bersuara, berkongsi pandangan serta mendapatkan maklumat tentang sesuatu produk dan perkhidmatan.

Komunikasi pelanggan, impak viral

Hal ini kerana, ia mudah, tiada kos dan mempunyai respon yang pantas. Sebagai contoh, pelanggan menggunakan platform Twitter untuk mengeksperesi ketidakpuasan hati berkenaan kelewatan penghantaran makanan manakala pekerja gig juga boleh mengeluh di platform yang sama mengenai kebajikan mereka sebagai pekerja yang tidak dijaga.

Komen-komen sebegini apabila diletakkan di laman sosial mampu mencetuskan kuasa ‘viral’ sehingga boleh menentukan jatuh bangun sesebuah syarikat di negara kita. Jadi, kepuasan pengguna amatlah penting untuk memastikan sesebuah syarikat dalam ekonomi gig mampu untuk bertahan dan terus berkembang.

Kuasa viral’ ini boleh dilihat kesannya melalui kisah ‘Kak Long 7E’ yang telah memberikan impak kepada netizen dan juga penggubal polisi.

Sentimen daripada netizen telah memperlihatkan kepentingannya terhadap pertumbuhan ekonomi gig. Pemerkasaan dan pembangunan ekonomi perkongsian ini dengan memanfaatkan saluran digital secara menyeluruh adalah wajar terutama bagi golongan yang telah kehilangan hak sebagai pengguna.

Selain itu, keperluan untuk pembinaan kekuatan dan keteguhan syarikat-syarikat yang terlibat dengan ekonomi gig, pengawalseliaan hak dan kepentingan pekerja dan pengguna serta pengoptimuman penggunaan teknologi digital adalah antara perkara penting yang perlu dilihat dan dititikberatkan oleh penggubal polisi negara.

-- BERNAMA

Prof. Madya Dr. Nur Syazwani Mazlan merupakan Ketua Penyelidik di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia.

Profesor Dr. Rusmawati Said merupakan Ketua Program di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia.

Professor Dr. Rahmita Wirza O.K. Rahmat merupakan pensyarah di Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Putra Malaysia.

Fatin Aimi Naemah Norazmi, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)
 
Sumber: BERNAMA, 30 Mac 2022

Tarikh Input: 04/04/2022 | Kemaskini: 04/04/2022 | syazmer

PERKONGSIAN MEDIA

SEKOLAH PERNIAGAAN DAN EKONOMI UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397697777
0397697777
-
BVLeLAe:11:31