Cabaran Usahawan Muda Kembangkan Perniagaan | FAKULTI EKONOMI DAN PENGURUSAN
» ARTIKEL » Cabaran Usahawan Muda Kembangkan Perniagaan

Cabaran Usahawan Muda Kembangkan Perniagaan

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Data pengangguran yang dikeluarkan Maybank Investment Bank Research baru-baru ini mendapati kadar pengangguran di Malaysia pada Mac 2019 adalah 3.4 peratus, meningkat 0.1 peratus berbanding bulan sebelumnya iaitu 3.3 peratus.

Data itu konsisten menunjukkan kadar pengangguran di Malaysia dalam tempoh tiga tahun ke belakang ini adalah antara 3 hingga 4 peratus.

Golongan belia dan graduan merupakan lebih daripada separuh jumlah yang menganggur.

Walaupun Laporan Penyiasatan Tenaga Buruh, Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan kadar pengangguran belia menurun 1 peratus iaitu daripada 11.5 peratus 2017 (suku keempat) kepada 10.5 peratus 2018 (suku keempat) namun, kadar pengangguran daripada kalangan graduan meningkat dari 4 peratus pada tahun 2017 kepada 4.3 peratus pada tahun 2018.

MERAMAIKAN USAHAWAN


Data itu menunjukkan dengan jelas bahawa langkah kerajaan untuk memberikan lebih perhatian kepada bidang keusahawanan terutamanya dalam melahirkan lebih ramai usahawan daripada kalangan belia dan graduan adalah amat bertepatan.

Hal ini disebabkan oleh peluang pekerjaan yang tidak mencukupi untuk menampung bilangan belia dan graduan terutamanya dalam jangka masa panjang.

Langkah kerajaan untuk memberikan alternatif kepada belia dan graduan bagi menceburi bidang keusahawanan akan membantu mengurangkan kadar pengangguran di Malaysia. 

Pada ketika ini, keusahawanan merupakan satu daripada bidang utama yang memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi di Malaysia.

Bidang itu juga dilihat sebagai pemangkin kepada peningkatan dan perkembangan ekonomi termasuk dalam peningkatan pendapatan per kapita negara.

Data Unit Strategi Nasional, Kementerian Kewangan menunjukkan bahawa sumbangan usahawan kepada ekonomi negara pada 2018 adalah sebanyak 36 peratus dan peratusan itu dijangka meningkat kepada 41 peratus menjelang 2020.

Dalam mendepani cabaran untuk menjadi usahawan berjaya, ada tiga perkara yang perlu diberi perhatian oleh kalangan usahawan muda iaitu penguasaan dalam teknologi, disiplin dalam perniagaan dan menjangkakan keperluan masa depan.

Tiga perkara itu perlu dikuasai untuk menjadi sebahagian daripada ‘DNA’ usahawan muda yang berjaya.



PENGUASAAN TEKNOLOGI

Penguasaan dalam teknologi adalah amat penting bagi melahirkan usahawan berjaya. Penggunaan teknologi dalam perniagaan akan meningkatkan lagi peluang untuk memperoleh pendapatan penjualan yang lebih tinggi.

Langkah kerajaan memperkasakan e- Dagang merupakan langkah singnifikan dalam merangsang usahawan muda untuk menggunakan aplikasi itu sebagai platform perniagaan.

Contohnya ialah syarikat e-Dagang utama dunia iaitu Alibaba Group (Alibaba) yang mencatatkan penjualan sebanyak US$30.8 billion dalam masa sehari pada 11 Nov 2018 serta Lazada Malaysia yang mencatatkan lebih daripada 3,000 urusan urus niaga dalam setiap minit pada tarikh sama.

Shopee Malaysia turut mencatatkan kejayaan Shopee 11.11 Big Sale apabila ia merekodkan 11 juta tempahan dalam tempoh 24 jam, yang merupakan peningkatan sebanyak 4.5 kali berbanding pada 2017.

Berdasarkan kepada peningkatan secara signifikan penjualan secara e-Dagang di dalam dan luar negara setiap tahun, kerajaan melihat adanya keperluan utama untuk memperkasakan perniagaan e-Dagang terutamanya untuk membantu menyediakan peluang kepada usahawan di Malaysia khususnya usahawan muda.

Rentetan daripada itu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan platform perdagangan e-Dagang Bohai Commodity Exchange of China (BOCE) Malaysia/ASEAN baru-baru ini.

BOCE merupakan organisasi yang beroperasi di China sejak tujuh tahun lalu dengan jumlah dagangan bernilai kira-kira 1 trilion Renminbi.

Melalui platform ini, kerajaan berhasrat menggalakkan lebih ramai penglibatan usahawan dalam ekonomi digital dan seterusnya memberikan manfaat kepada usahawan muda yang mahu menceburi keterangkuman digital.

Perdana Menteri juga menjelaskan bahawa melalui platform e-Dagang disokong oleh kerajaan, perdagangan rentas sempadan akan menjadi lebih selamat, lebih cekap dan berkesan untuk perniagaan.

Melalui penggunaan e-Dagang ini, maka lebih ramai usahawan muda yang akan berjaya memasarkan produk masing-masing melangkaui sempadan negara dan budaya.

Pelaksanaan e-Dagang bukan hanya memberikan pendapatan lumayan kepada usahawan muda malah ia berperanan sebagai serampang dua mata yang selari dengan hasrat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk memacu sektor e-Dagang sebagai inisiatif bagi mengurangkan harga barang dan perkhidmatan.

Menteri berkenaan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengakui bahawa pelaksanaan e-Dagang secara meluas mampu menurunkan harga barang dengan berkesan berikutan adanya persaingan harga yang kompetitif dalam kalangan usahawan selain mengurangkan ‘orang tengah’ semasa urusan perniagaan.

 

 

Penulis, Dr Anuar Shah Bali Mohamed adalah Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Putra Malaysia 

 

 

Tarikh Input: 14/06/2019 | Kemaskini: 14/06/2019 | nurzatul

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI EKONOMI DAN PENGURUSAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397697600
0389486188
C1571860310