Belanjawan 2019: Hadiah Buat Golongan B40 | FAKULTI EKONOMI DAN PENGURUSAN
» ARTIKEL » Belanjawan 2019: Hadiah buat golongan B40

Belanjawan 2019: Hadiah buat golongan B40

KUALA LUMPUR – Belanjawan 2019 yang diumumkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini disifatkan sebagai lebih berfokus kepada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) yang merupakan antara penerima manfaat paling besar belanjawan negara kali ini.

Timbalan Dekan Akademik Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Bany Ariffin Amin Noordin berkata dalam usaha mengurangkan kos sara hidup yang amat tinggi di negara ini terutamanya di bandar, beberapa  inisiatif yang diperkenalkan seperti Bantuan Sara Hidup (BSH) dan peningkatan subsidi elektrik  isi rumah untuk penggunaan RM20 ke bawah kepada RM40 sememangnya tepat.

 
 

"Pengenalan subsidi minyak secara bersasar kepada pemilik kereta dengan kapasiti 1,500cc  dan ke bawah dan pemilik motosikal 125cc dan ke bawah juga sangat diperlukan kerana kebanyakan pemilik kenderaan sebegini adalah daripada golongan B40," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.Bany Arifin berkata langkah pemansuhan tol motosikal di tiga laluan iaitu di Jambatan Pertama dan Kedua di Pulau Pinang serta Lebuhraya Laluan Kedua, Johor, mulai 1 Jan 2019 bakal memberi penjimatan kos perbelanjaan harian golongan itu.

Senada dengan Bany Ariffin, Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah dan Jaringan Industri & Masyarakat) Fakulti Ekologi Manusia, UPM, Profesor Madya Dr Mohamad Fazli Sabri berkata kerajaan dilihat mengutamakan keperluan dan kebajikan rakyat meskipun berdepan dengan kekangan kewangan.

"Biarpun terpaksa menanggung hutang negara, kerajaan masih mengambil cakna terhadap keperluan rakyat," katanya sambil menambah kerajaan perlu mencari mekanisme terbaik dalam memastikan inisiatif yang diperkenalkan untuk golongan B40 benar-benar diterima golongan itu.

Sebagai contoh, katanya bagi bantuan BSH kerajaan boleh memperkenalkan baucar ataupun kad khas seperti yang dilaksanakan di Amerika Syarikat yang mana penerima bantuan hanya perlu menunjukkan kad tersebut ketika pembayaran untuk menerima potongan harga barangan bagi mengelak berlaku ketirisan dalam penyaluran bantuan.

Dalam pembentangan Belanjawan 2019, Menteri Kewangan Lim Guan Eng antara lain mengumumkan pemberian BSH bagi isi rumah berpendapatan RM2,000 ke bawah hingga RM4,000 adalah bermula daripada RM500 sehingga RM1,000.

Turut diumumkan kadar tambahan BSH sebanyak RM120 untuk setiap anak berumur 18 tahun ke bawah, terhad kepada empat orang kecuali anak orang kelainan upaya (OKU) yang tidak dihadkan umur. - Bernama

 

Capaian penuh artikel di sini

Tarikh Input: 27/11/2018 | Kemaskini: 27/11/2018 | nurzatul

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI EKONOMI DAN PENGURUSAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397697600
0389486188
B1566452478