UPM Tubuh Pasukan Polis Bantuan Ke Arah 'Kampus Selamat' | FAKULTI EKONOMI DAN PENGURUSAN
» BERITA » UPM tubuh pasukan Polis Bantuan ke arah 'Kampus Selamat'

UPM tubuh pasukan Polis Bantuan ke arah 'Kampus Selamat'


SERDANG, 24 Jun (UPM) – Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menubuhkan pasukan Polis Bantuan bagi meningkatkan mutu keselamatan kampus ke arah ‘Kampus Selamat’ serta mempunyai keistimewaan dan kuasa polis untuk melaksanakan tugas.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Datuk Seri Khalid Abu Bakar telah menyerahkan Watikah Polis Bantuan kepada Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Mohd Fauzi Ramlan di sini hari ini.

Tan Sri Datuk Seri Khalid berkata dalam ucapan beliau polis bantuan bukan sahaja berfungsi sebagai ‘mata dan telinga’ kepada PDRM tetapi sebagai pembantu yang efektif diperlukan dalam mencegah berlakunya kejadian jenayah di premis masing-masing.

“Sebagai pasukan beruniform, kita perlu menjadi contoh yang baik serta perlu berada di barisan hadapan untuk berinteraksi dan menjaga keselamatan masyarakat,” katanya pada majlis penyerahan watikah polis bantuan di Dewan Taklimat, UPM.


Tambah beliau penubuhan Polis Bantuan adalah mengikut Bahagian IX, Akta Polis No. 41/46 dan Peraturan-Peraturan Polis 1970 yang telah wujud sejak tahun 1948.

“Pada masa kini sebanyak 152 agensi Polis Bantuan sedang beroperasi di seluruh negara  iaitu 18,649 anggota dan jumlah agensi Polis Bantuan di Selangor adalah sebanyak 47 agensi yang dianggotai 4,363 anggota,” katanya.

Beliau turut menyarankan UPM untuk mewujudkan Pusat Kawalan Polis Bantuan di kawasan lebih strategik bagi menggantikan yang sedia ada .

Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Mohd Fauzi berkata watikah itu bertujuan membolehkan pengawal keselamatan UPM mempunyai kuasa polis serta melayakkan mereka membawa senjata api semasa melaksanakan tugas di kawasan yang ditentukan bagi memastikan perlindungan keselamatan di sekitar kampus UPM.


“Saya yakin dengan penubuhan Polis Bantuan adalah sebahagian dari usaha untuk menurunkan kadar kes jenayah sekitar kampus,” katanya.

Beliau berkata UPM akan menambah bilangan CCTV di seluruh kawasan kampus, sebagai tambahan kepada apa yang sudah dimiliki di peringkat Jabatan atau Fakulti.

“Pemantauan tidak hanya dilaksanakan secara fizikal tetapi menggunakan teknologi terkini sejajar dengan keperluan masa kini,” katanya.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah meluluskan penubuhan Polis Bantuan UPM dengan berjawatan Polis Bantuan seramai 207 orang.

UPM merupakan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) ketiga yang mendapat kelulusan menubuhkan polis bantuannya sendiri selepas Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Teknikal Malaysia (UTeM). – UPM


Tarikh Input: | Kemaskini: | fakarrudeen

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI EKONOMI DAN PENGURUSAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397697600
0389486188
C1575656091