Prestasi Ekonomi Negara Suku Ketiga Lebih Kukuh | SEKOLAH PERNIAGAAN DAN EKONOMI UPM
» BERITA » Prestasi ekonomi negara suku ketiga lebih kukuh

Prestasi ekonomi negara suku ketiga lebih kukuh

Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohd Naseem Niaz Ahmad, berkata pelbagai inisiatif dilaksanakan kerajaan termasuk empat pakej rangsangan ekonomi seperti Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan Kerangka Inisiatif Tambahan Khas: Kita Prihatin (KITA PRIHATIN) bernilai RM305 bilion dengan RM55 bilion sebagai suntikan fiskal langsung, menghasilkan pelbagai impak positif.

Katanya, kerancakan itu ditambah dengan pembentangan Belanjawan 2021 yang menekankan konsep kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi.

Semua langkah yang berteraskan usaha membantu rakyat itu, tegasnya, diyakini mampu memberi sinergi baharu terhadap kegiatan ekonomi untuk terus berkembang.

"Ini dilihat dapat memainkan peranan sewajarnya dalam memastikan kesan pelaksanaan pelbagai PKP terhadap ekonomi dapat diminimumkan sejajar usaha pemulihan ekonomi yang diambil.

"Keadaan ini diharap memperkasakan ekosistem perniagaan dan memberi momentum baik terhadap pertumbuhan KDNK negara," katanya.

Sementara itu, MIDF Research dalam nota kajiannya, berkata prestasi KDNK negara pada S320 adalah lebih baik daripada yang dijangka memandangkan aktiviti ekonomi kembali secara beransur-ansur.

Katanya, Malaysia merekodkan pertumbuhan KDNK terburuk pada suku kedua lalu dalam kalangan lima negara ASEAN berikutan pelaksanaan perintah berkurung seluruh negara dan mengenakan larangan ketat bagi menjamin keselamatan serta kesihatan rakyatnya.

"Apabila Malaysia mula melonggarkan sekatan secara berperingkat, tahap pemulihan yang dicatat adalah lebih pantas pada S320, melebihi prestasi Singapura, Indonesia dan Filipina setakat ini.

"Berdasarkan indikator dan perkembangan semasa, ekonomi negara bakal terus bertambah baik, tetapi kami menjangkakan ia berlaku secara beransur-ansur.

"Ia berikutan sentimen masih lemah selepas COVID-19 kembali menular dalam negara dan global. Pada peringkat domestik, kenaikan kes COVID-19 menyebabkan banyak negeri dikenakan PKPB.

"Walaupun pelaksanaannya dilihat kurang ketat berbanding sebelum ini dan banyak aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi mengikut standard operasi prosedur (SOP), ia tetap mempunyai kesan kepada permintaan disebabkan larangan pergerakan fizikal," katanya.

Capaian Artikel

Tarikh Input: 19/11/2020 | Kemaskini: 19/11/2020 | nurzatul

PERKONGSIAN MEDIA

SEKOLAH PERNIAGAAN DAN EKONOMI UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397697777
0397696188
B1606571879