Manfaat Bantuan 61K | SEKOLAH PERNIAGAAN DAN EKONOMI UPM
» BERITA » Manfaat Bantuan 61K

Manfaat Bantuan 61K

BANTUAN yang disalurkan kerajaan sehingga RM61,000 bagi mereka yang terkesan bencana banjir perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi memastikan simpanan persaraan terjamin demi kesejahteraan jangka masa panjang.

Profesor Madya di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Anuar Shah Bali Mahomed berkata, langkah memaksimumkan bantuan kerajaan dan tambahan bantuan lain termasuk bantuan kewangan dalam bentuk e-dompet atau e-tunai untuk tiga bulan akan datang dapat membantu meringankan beban rakyat.

Katanya, kerajaan juga dalam tempoh tiga bulan ini perlu mendapatkan input secara berterusan mengenai keperluan rakyat supaya mereka yang terjejas akibat banjir dapat dibantu dengan segera dan mengelak daripada mangsa meminjam daripada along.

"Pada pandangan saya, perlu manfaatkan sepenuhnya bantuan kerajaan yang boleh mencecah sehingga RM61,000.

"Selain itu, kerajaan boleh pertimbangkan untuk memperkenalkan bantuan tunai tambahan dalam bentuk e-dompet atau e-tunai bagi disalurkan untuk membeli barang keperluan harian khususnya dalam tempoh tiga bulan akan datang.

"Kerajaan juga boleh menyambung moratorium selama enam bulan sehingga Jun 2022 untuk mereka yang terjejas banjir khususnya B40 dan M40.

"Kerajaan juga boleh memperkenalkan insuran bencana alam dengan kerajaan membiayai insuran bencana alam untuk semua B40 dan sebahagian M40 bagi melindungi mereka sekiranya berlaku bencana alam pada masa akan datang," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, kerajaan juga boleh mendapatkan input berkenaaan keperluan tambahan rakyat yang terkesan dengan banjir serta merangka peruntukan lain khususnya tambahan bantuan tunai secara e-tunai.

"Jika kita lihat beberapa data antaranya Kajian Selidik Kesan PKP 1.0 pada isi rumah dan perniagaan oleh Kementerian Kewangan Malaysia sebelum ini menunjukkan bahawa satu pertiga (isi rumah dan perniagaan) tidak mampu untuk mengekalkan perbelanjaan lebih daripada sebulan, 82 peratus pekerja sektor swasta hanya mempunyai simpanan kurang daripada dua bulan, 68 peratus perniagaan melaporkan tiada jualan atau hasil dan 42.5 peratus perniagaan memerlukan lebih enam bulan untuk pulih.

"Selain itu, simpanan rakyat Malaysia di dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga menunjukkan trend yang amat membimbangkan.

"Data sebelum ini menunjukkan seramai 6.1 juta ahli KWSP mempunyai simpanan kurang RM10,000.

"Daripada 6.1 juta ahli KWSP ini, 3.6 juta mempunyai simpanan kurang RM1,000. Seramai 4.4 juta atau 54 peratus ahli Bumiputera kini mempunyai kurang RM10,000 manakala dua juta atau 25 peratus lagi mempunyai kurang RM1,000.

"Kumpulan 40 peratus terbawah ahli KWSP, merangkumi lebih kurang lima juta ahli telah menyaksikan simpanan mereka jatuh sebanyak 38 peratus kepada hanya RM8 bilion, menjadikan baki simpanan median sebanyak RM1,005.

"Kumpulan 40 peratus pertengahan turut mengalami kejatuhan sebanyak 18 peratus kepada RM155 bilion atau baki median sebanyak RM24,995.

"Ini menunjukkan dengan jelas bahawa simpanan rakyat Malaysia terutamanya Bumiputera semakin berkurangan dan kesannya akan lebih ketara sekiranya krisis yang dihadapi oleh negara pada ketika ini berpanjangan," katanya.

Sumber: Harian Metro, 8 Januari 2022

Tarikh Input: 15/03/2022 | Kemaskini: 15/03/2022 | syazmer

PERKONGSIAN MEDIA

SEKOLAH PERNIAGAAN DAN EKONOMI UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397697777
-
SXDdFAJ~