300 Pelajar Asnaf Terima Manfaat Kerjasama QSR Brands | SEKOLAH PERNIAGAAN DAN EKONOMI UPM
» BERITA » 300 pelajar asnaf terima manfaat kerjasama QSR Brands

300 pelajar asnaf terima manfaat kerjasama QSR Brands

Serdang - Program Penyerahan Bantuan Kelengkapan Persekolahan Pelajar Asnaf 2022 anjuran Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE) dilaksanakan dengan jayanya dengan kerjasama QSR Brands (M) Holdings Berhad. Jumlah sumbangan yang disampaikan adalah sebanyak RM54,074.00 yang melibatkan 300 pelajar sekolah di beberapa lokasi terpilih iaitu Negeri Sembilan, Selangor, Perak dan Kedah.

Sumbangan di Bukit Gantang telah disampaikan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Datuk Ustaz Idris Ahmad di pekarangan Pusat Khidmat Parlimen Bukit Gantang. Turut hadir sama dalam majlis adalah Pemangku Ketua Jabatan Syariah dan Pematuhan Halal QSR Brands (M) Holdings Berhad, Hayazi Darus, Profesor Dr. Suhaimi Ab Rahman, Ketua Projek Bantuan Persekolahan Anak-Anak Asnaf, Sekolah Perniagaan Ekonomi UPM iaitu Prof Madya Ts Dr. Anuar Shah Bali Mahomed serta Pengarah Pusat Khidmat Parlimen Bukit Gantang, Zulkefly Ahmed.

Para pelajar juga telah dibawa membeli-belah kelengkapan persekolahan dengan peruntukan RM220 setiap pelajar di Kedai Pakaian Ridzuan, Simpang dan diakhiri dengan jamuan tengah hari tajaan QSR Brands (M) Holdings Berhad di restoran makanan segera Kentucy Fried Chicken.

Selain sesi bantuan persekolahan, Program ini yang diadakan di Selangor juga telah dilaksanakan satu sesi perkongsian ilmu yang disampaikan oleh Prof. Dr. Rozanah Ab Rahman.

Sebelum itu, SPE juga turut menganjurkan Program Penyerahan Wang Zakat Bagi Menaiktaraf Surau Sekolah Kebangsaan Jorak, Bukit Pasir, Muar, Johor anjuran Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, UPM dengan kerjasama QSR Brands (M) Holdings Berhad dengan kos pelaksanaan adalah sebanyak RM5240.

Program bantuan ini merupakan salah satu aktiviti agenda projek kerjasama SPE dan QSR Brands (M) Holdings Berhad yang juga merupakan rakan strategik SPE bermula tahun 2018. Beberapa siri program telah dilaksanakan dan ahli projek terdiri daripada wakil QSR serta SPE.

oleh Nurzatul Hakimah Mahmud Mahayudin, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi

 

Tarikh Input: 29/03/2022 | Kemaskini: 04/04/2022 | syazmer

PERKONGSIAN MEDIA

SEKOLAH PERNIAGAAN DAN EKONOMI UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397697777
-
SXDeAA5~