Cukai Rokok, Penguatkuasaan Ketat Mampu Tingkat Hasil Negara | SEKOLAH PERNIAGAAN DAN EKONOMI UPM
» ARTIKEL » Cukai rokok, penguatkuasaan ketat mampu tingkat hasil negara

Cukai rokok, penguatkuasaan ketat mampu tingkat hasil negara

Prof Madya Dr Norashidah Mohamed Nor
Penulis ialah Timbalan Dekan (Prasiswazah & Alumni) Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE), Universiti Putra Malaysia (UPM)
 
 
PENGUMUMAN kerajaan untuk tidak menaikkan kadar cukai rokok dan hanya mengenakan duti eksais kepada peranti rokok elektronik dan bukan elektronik termasuk vape dilihat sebagai langkah terkebelakang.
Rokok dan vape, kedua-duanya mendatangkan mudarat kepada kesihatan. Persoalannya, mengapakah tidak diharamkan sahaja vape yang terbukti membahayakan kesihatan?
 
 
Desakan industri yang menyatakan kenaikan cukai hanya akan meningkatkan lambakan rokok tidak sah adalah satu kenyataan lapuk. Hal itu terbukti kerana di Malaysia, kali terakhir kerajaan menaikkan cukai eksais terhadap rokok adalah pada tahun 2015.
Walau bagaimanapun, apa yang berlaku selepas lima tahun kenaikan cukai, lambakan rokok tidak sah masih meningkat di Malaysia. Seperti yang dilaporkan di media, penjualan rokok tidak sah di Malaysia mencapai tahap 58.9 peratus pada tahun 2018.
 
Ini membuktikan kenaikan harga rokok disebabkan kenaikan cukai eksais rokok bukanlah faktor utama pertambahan lambakan rokok tidak sah.
Kajian yang telah dijalankan di beberapa buah negara termasuk Malaysia, menunjukkan antara faktor utama yang menyumbang kepada lambakan rokok tidak sah adalah kelemahan dari segi penguatkuasaan.
 
Harga rokok di Malaysia masih lagi rendah dan dalam kategori mampu dibeli, justeru bagi memastikan permintaan ke atas rokok berkurangan, harga rokok perlu dinaikkan menerusi kenaikan cukai.
Seperti yang dilaporkan kerajan, kehilangan hasil yang tinggi disebabkan rokok tidak sah, oleh itu dengan kenaikan cukai ke atas rokok akan dapat meningkatkan hasil untuk kerajaan.
 
Selain itu, ketirisan hasil kerajaan disebabkan rokok tidak sah boleh dikurangkan dengan meningkatkan penguatkuasaan.
Dalam bajet yang dibentangkan, kerajaan telah memperuntukan perbelanjaan yang besar untuk membantu rakyat serta memulihkan ekonomi negara, oleh itu adalah disarankan kerajaan menaikkan cukai ke atas rokok sah yang juga merupakan penyumbang hasil kerajaan yang tinggi.
 
Hasil cukai ke atas rokok ini boleh disalurkan untuk membantu perokok yang yang ingin berhenti merokok terutama sekali mereka yang terjejas semasa penularan COVID-19 ini.
Bagi pencegahan penularan COVID-19, pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mempergiatkan operasi dan rondaan di sepanjang perairan Malaysia bagi menyekat kemasukan pendatang asing tanpa izin.
 
Maka ini juga adalah kesempatan yang baik untuk Maritim Malaysia bekerjasama dengan pihak kastam dalam usaha menyekat penyeludupan rokok tidak sah di Malaysia.
Masih belum terlambat untuk kerajaan mengumumkan kenaikan cukai ke atas rokok kerana bukan sahaja dapat meningkat hasil kerajaan, malah mengurangkan permintaan kepada rokok seterusnya mengurangkan kos yang perlu ditanggung kerajaan atas penyakit yang berpunca dari rokok.
 
Capaian artikel

Tarikh Input: 20/11/2020 | Kemaskini: 20/11/2020 | nurzatul

PERKONGSIAN MEDIA

SEKOLAH PERNIAGAAN DAN EKONOMI UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397697777
0397696188
BVMbMlH:12:37