SEKOLAH PERNIAGAAN MALAYSIA PERTAMA MENERIMA AKREDITASI EQUIS | SEKOLAH PERNIAGAAN DAN EKONOMI UPM
» BERITA » SEKOLAH PERNIAGAAN MALAYSIA PERTAMA MENERIMA AKREDITASI EQUIS

SEKOLAH PERNIAGAAN MALAYSIA PERTAMA MENERIMA AKREDITASI EQUIS

                        

SERDANG, 1 November  - Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE), Universiti Putra Malaysia (UPM), telah menerima akreditasi EFMD Quality Improvement System (EQUIS) bagi tempoh tiga tahun daripada European Foundation for Management Development (EFMD). 

 

Naib Canselor UPM, YH. Dato' Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata pengiktirafan ini adalah bukti komitmen SPE UPM terhadap kecemerlangan pendidikan kepada pelajarnya dan menekankan kualiti program, staf dan penyelidikan. 

 

"Akreditasi EQUIS membawa nilai tambah yang berharga kepada akreditasi AACSB yang sedia ada. Ia mengukuhkan kedudukan SPE UPM sebagai institusi pendidikan perniagaan terkemuka di Malaysia dan di peringkat global,” katanya.

 

Tambah beliau pencapaian ini juga  sejajar dengan Pelan Strategik UPM 2021-2025 Matlamat 1 Melahirkan Watak Graduan Berdaya Tahan Mendepani Cabaran Mendatang dan selaras dengan visi UPM untuk menjadi universiti bereputasi antarabangsa.

 

Dekan SPE, UPM, Prof. Dr. Bany Ariffin Amin Noordin, berkata akreditasi EQUIS merupakan pencapaian penting dalam perjalanan SPE UPM untuk menjadi sekolah perniagaan terkemuka di Asia.

 

"Kami amat berbangga menjadi sekolah perniagaan tempatan yang pertama di Malaysia yang telah mendapat pengiktirafan berprestij ini. Pencapaian ini pastinya akan membuka peluang kepada SPE UPM untuk meningkatkan kerjasama dengan industri, komuniti dan sekolah perniagaan terkemuka lain di seluruh dunia,” katanya.

 

Beliau juga berkata bahawa akreditasi ini akan membuka lebih banyak peluang untuk SPE UPM meningkatkan kualiti dan kebolehpasaran pelajar-pelajar.

 

Akreditasi ini merupakan pencapaian yang membanggakan bagi UPM, menjadikannya universiti Malaysia yang pertama mendapat pengiktirafan antarabangsa ini. Pada masa ini, terdapat 209 sekolah yang diiktiraf EQUIS di seluruh dunia. 

 

Dengan anggaran 16,000 sekolah perniagaan di seluruh dunia, SPE UPM kini menyertai 2% kumpulan elit sekolah perniagaan yang diiktiraf EQUIS.  

 

EQUIS merupakan sistem penilaian kualiti antarabangsa, penambahbaikan, dan akreditasi untuk institusi pendidikan tinggi dalam pentadbiran pengurusan dan perniagaan. Bagi mencapai akreditasi ini, SPE, UPM telah menjalani proses penilaian yang ketat termasuk laporan penilaian kendiri yang mendalam, diikuti dengan lawatan secara dalam talian daripada pasukan penilai yang terdiri daripada pakar-pakar antarabangsa. 

 

Bidang yang dinilai merangkumi semua aspek operasi sekolah perniagaan, penanda aras terhadap piawaian antarabangsa dalam tadbir urus, program, pelajar, staf, penyelidikan, pengantarabangsaan, etika, tanggungjawab dan kemampanan, dan penglibatan korporat. Untuk dianugerahkan akreditasi EQUIS, sekolah perniagaan mesti menunjukkan bahawa ia telah memenuhi piawaian antarabangsa tertinggi dalam setiap bidang ini.

 

Selain itu, SPE, UPM mempunyai sejarah kecemerlangan dalam pengajaran dan penyelidikan. Akreditasi ini adalah bukti kepada penawaran program akademik yang berkualiti tinggi dan komitmen padu staf SPE UPM kepada kecemerlangan dan penambahbaikan berterusan bagi menyediakan pengalaman pembelajaran yang cemerlang untuk pelajar. 

 

Melangkah ke hadapan, SPE, UPM akan menjalani proses akreditasi semula setiap lima tahun dengan AACSB pada Mac 2023 untuk mengekalkan akreditasi antarabangsa ini.

Tarikh Input: 04/11/2022 | Kemaskini: 04/11/2022 | syazmer

PERKONGSIAN MEDIA

SEKOLAH PERNIAGAAN DAN EKONOMI UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397697777
-
SXEaBA2~