PEMULIH 2021: Perlu Strategi Berterusan Perbaiki Rantaian Perbekalan Domestik Antara Industri Dan Wilayah | SEKOLAH PERNIAGAAN DAN EKONOMI UPM
» ARTIKEL » PEMULIH 2021: Perlu strategi berterusan perbaiki rantaian perbekalan domestik antara industri dan wilayah

PEMULIH 2021: Perlu strategi berterusan perbaiki rantaian perbekalan domestik antara industri dan wilayah

Kes jangkitan Covid-19 yang masih tinggi daripada jangkaan nilai ambang dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) telah memberikan kesan kepada pergerakan aktiviti ekonomi. Ini dijangka akan memberikan kesan geseran yang agak ketara dalam usaha pemulihan ekonomi negara.

Sungguhpun begitu, peranan rantaian perbekalan domestik amat penting untuk memastikan kelangsungan aktiviti perniagaan. Tidak dinafikan penutupan aktiviti ekonomi yang tidak perlu (non-essential services) sedikit sebanyak telah merencatkan aliran rantaian perbekalan dan usaha pemulihan ekonomi akan terjejas.

Pemberian insentif yang sedang dilaksanakan kini seperti Geran Khas Prihatin (GKP) adalah wajar dan dapat membantu menjana semula ekonomi dalam jangka masa pendek, sekaligus berperanan sebagai rangsangan untuk kelangsungan perniagaan.

Akan tetapi, insentif ini tidak akan membuahkan hasil yang baik sekiranya aliran perbekalan masih lagi disekat kepada sektor-sektor tertentu sahaja.

Realitinya, aktiviti ekonomi tidak hanya berkelompok pada sesuatu industri sahaja. Penggunaan input oleh satu industri daripada satu industri yang lain telah mewujudkan satu rantaian perbekalan dan menunjukkan kebergantungan antara industri terlibat.

Aliran perbekalan tersebut bukan sahaja melibatkan aliran input antara industri, malah turut melibatkan perkaitan industri antara wilayah. Contohnya, industri yang berada di Selangor tidak semestinya mendapatkan sumber bekalan bahan mentah daripada industri di negeri berkenaan sahaja.

Tidak dinafikan dalam dunia perniagaan yang semakin kompleks masa kini, aliran input turut melibatkan beberapa wilayah yang berbeza dalam penghasilan satu produk akhir. Justeru, penutupan aktiviti ekonomi pada satu wilayah akan menjejaskan aktiviti ekonomi di wilayah yang lain pula.

Antara usaha yang pihak kerajaan boleh lakukan dalam jangka masa pendek adalah membenarkan aktiviti ekonomi di negeri-negeri dengan kadar jangkitan rendah. Strategi penutupan aktiviti ekonomi secara ‘pukul rata’ dilihat tidak sesuai dilaksanakan.

Selain itu, inisiatif pendigitalan perniagaan sebanyak RM200 juta untuk PKS dan tambahan RM100 juta bagi SME Digitalisation Grant dalam PEMULIH merupakan satu tindakan jangka pendek yang boleh membawa kepada kesan jangka panjang.

Akan tetapi, sekiranya aliran perbekalan produk fizikal masih tidak berjalan dengan baik, maka penawaran barangan akan turut terjejas dan proses digitalisasi tidak akan berkesan.

Dalam jangkamasa sederhana, pihak kerajaan perlu mewujudkan pangkalan data rantaian perbekalan di peringkat negeri dan wilayah.

Kajian terkini di luar negara telah menunjukkan keperluan melihat rantaian nilai di peringkat unit geospatial yang lebih mikro, bermula daripada peringkat negeri ke wilayah-wilayah kecil.

Contohnya, di negara China dan Jerman, pangkalan data di peringkat perbandaran telah diwujudkan bagi melihat faktor penawaran dan permintaan ekonomi di lokatili tertentu. Justeru, sekiranya terdapat kejutan ekonomi yang berlaku, maka pihak berkepentingan dapat memantau dan mengambil tindakan mitigasi sewajarnya.

Dalam jangkamasa panjang pula, pengurangan kebergantungan import dan meningkatkan kapasiti pengeluaran industri domestik adalah langkah yang baik. Namun begitu, hal ini tidak hanya melibatkan perancangan di peringkat nasional, malah perlu mendapat sokongan di peringkat negeri.

Perancangan ekonomi di peringkat negeri perlu diintegrasikan dengan aspirasi nasional bagi mendapatkan impak ekonomi yang lebih tinggi dan sekaligus merapatkan jurang ketidakseimbangan pendapatan antara wilayah.

.

 

Ditulis bersama oleh:

Dr Muhammad Daaniyall Abd Rahman merupakan Pensyarah Kanan di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE) Universiti Putra Malaysia dan merupakan Ahli Ekonomi Kanan di Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan EIS-UPMCS (EU-ERA), PERKESO.

Cik Zahira Adila Zahuri merupakan penyelidik ekonomi di Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan EIS-UPMCS (EU-ERA), PERKESO.

 

 

Tarikh Input: 13/07/2021 | Kemaskini: 01/03/2022 | syazmer

PERKONGSIAN MEDIA

SEKOLAH PERNIAGAAN DAN EKONOMI UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397697777
-
SXDdOAo~