Profesor Emeritus | SCHOOL OF BUSINESS AND ECONOMICS
» ABOUT US » CORPORATE INFORMATION » Profesor Emeritus

Profesor Emeritus

       

Profesor Emeritus Tan Sri Nik Mustapha Raja Abdullah

 

 

Nik Mustapha bin R Abdullah dilahirkan di Machang, Kelantan pada 26 Disember 1954. Beliau mendapat  Diploma Pertanian dari Universiti Pertanian Malaysia pada tahun 1976 dan memperoleh Ijazah pertama dalam bidang Ekonomi Sumber dari University of California, Davis pada tahun 1979. Beliau meneruskan pengajiannya ke peringkat ijazah sarjana di Oregon State University pada tahun 1980 dan seterusnya ke peringkat doktor falsafah di universiti yang sama dari tahun 1985 sehingga 1988 dalam bidang Ekonomi Sumber dan Pertanian.

 

Nik Mustapha memulakan kerjaya beliau sebagai pensyarah di Jabatan Ekonomi Sumber Asli, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan pada tahun 1981 sehingga 2017. Beliau telah memegang beberapa jawatan pentadbiran penting di UPM bermula sebagai Ketua Jabatan Ekonomi Sumber Asli pada tahun 1989, Timbalan Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan pada tahun 1997 dan seterusnya sebagai Dekan pada tahun 1999. Kerjaya beliau di UPM terus berkembang apabila dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor pada tahun 2004 dan seterusnya diberi mandat untuk menerajui UPM sebagai Naib Canselor dari tahun 2006 sehingga 2010. Beliau kini adalah salah seorang dari ahli Lembaga Pengarah UPM dan juga Ahli Lembaga Pengarah Putra Business School.

 

Nik Mustapha telah menghasilkan lebih dari 100 penerbitan berimpak dalam bentuk artikel jurnal, buku, bab dalam buku, laporan teknikal dan prosiding seminar. Kepakaran beliau dalam bidang Ekonomi Perikanan dan Ekonomi Sumber telah mendapat perhatian di peringkat nasional dan antarabangsa apabila beliau telah dilantik sebagai pakar rujuk dan menjalankan beberapa kajian dalam bidang yang berkaitan. Selain dari itu beliau juga menganggotai beberapa agensi dalam negara antaranya Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Ahli Lembaga Pengarah MAJUIKAN Sdn. Bhd, Ahli Lembaga Pengarah MARDI Science Council, Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Koko Malaysia (LKM) dan Ahli Jawatankuasa Pengelola City University.

 

Di peringkat antarabangsa, Nik Mustapha adalah Ahli Lembaga Pengarang Journal Marine Resource Economics, Pengerusi Asian Fisheries Social Science Research Network, Ahli Lembaga Pengelola SEAMEO Regional Centre, Ahli Worldwide Fisheries Co-Management Program, Ahli Scientific Advisory Panel for International Centre for Living Aquatic Resources Management, Manila dan Ahli Group Expert on the Scientific Aspect of Marine Environment Protection (GESAMP), London.

Berdasarkan sumbangan beliau kepada UPM dan masyarakat, beliau telah dianugerahkan dua darjah kebesaran Kerajaan Persekutuan daripada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong  iaitu bintang kebesaran Panglima Setia Mahkota (P.S.M.) pada tahun 2010 yang membawa gelaran Tan Sri dan Panglima Jasa Negara (P.J.N.) pada tahun 2007. Sebelum itu beliau juga menerima anugerah darjah Dato’ Paduka Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (D.P.S.K.) dan pada tahun 2006 beliau menerima anugerah Dato’ Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.).

. 

         

Profesor Emeritus Dato' Ahmad Zubaidi Baharumshah

 

 

Ahmad Zubaidi Baharumshah dilahirkan pada 24 Julai 1953, di Georgetown, Pulau Pinang. Beliau mendapat pendidikan menengah di Penang Free School dan Technical Institute (TI) Penang. Beliau telah menerima Diploma Pertanian daripada Universiti Pertanian Malaysia pada tahun 1974.  Beliau melanjutkan pengajian dalam bidang ekonomi di peringkat ijazah Sarjana Muda di Louisiana State University, pada 1979. Beliau seterusnya telah memperoleh Ijazah Sarjana daripada Pennsylvania State University pada tahun 1981. Pada tahun 1990, beliau telah dianugerahkan Ijazah kedoktoran daripada University of Illinois, Urbana-Champaign.

 

Ahmad Zubaidi Baharumshah mula berkhidmat di Fakulti Ekonomi Sumber dan Perniagaantani pada Julai 1981. Beliau pernah menyandang jawatan sebagai Ketua Jabatan dan seterusnya sebagai Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan pada November 2002 sehingga Jun 2007.

 

Beliau telah dilantik sebagai Profesor pada Januari 2000 dan telah bersara wajib pada Julai 2012. Beliau terus menyambung perkhidmatannya di UPM sebagai Profesor kontrak sehingga Jun 2019. Selain itu, Ahmad Zubaidi pernah dilantik sebagai Felo Penyelidik di Financial Economics Research Centre, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, dan sebagai Penyelidik Bersekutu di beberapa institut lain seperti di Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Institut Penyelidikan Produk Halal, Institut Penyelidikan Matematik, Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan (IKPDM). Selepas bersara beliau telah dilantik sebagai Profesor Adjung di International Center for Education in Islamic Finance (INCEIF).

 

Di peringkat kebangsaan, beliau memberi banyak sumbangan khususnya dalam bidang makroekonomi. Di Malaysia, beliau terkenal dengan beberapa model tukaran wang asing, bermula dengan Purchasing Power, yang diterbitkan dalam Jurnal Japan and The World Economy. Beliau juga telah dilantik sebagai perunding oleh Perbadanan Nasional Berhad (PNB) selama 2 tahun. Selain itu, beliau juga merupakan perunding kepada beberapa agensi kerajaan dan luar negara, antaranya MTEN, Bursa Malaysia, ASEAN+3 Research GroupAsian Development Bank, Economic Planning Unit, MOA dan FAMA.

 

Di peringkat antarabangsa, Ahmad Zubaidi merupakan seorang ahli ekonometrik terkenal bukan sahaja di Malaysia (3% teratas), malahan dalam kalangan negara-negara Asia (5% teratas). Ahmad Zubaidi pernah dilantik sebagai pakar perunding bersama pakar perunding dari Korea Selatan dan Jepun untuk mengkaji model Monetary Union. Kajian ASEAN Plus Three (APT) ini telah diterajui oleh Profesor Ito, Penasihat Ekonomi kepada Perdana Menteri Jepun bertujuan untuk mengurangkan jurang pembangunan dan menyediakan pelan “ASEAN connectivity’ dalam kalangan ahli-ahli negara ASEAN. Seterusnya beliau pernah bekerjasama dengan ahli ekonomi Profesor Ronald MacDonald dari University of Glasgow, Scotland dalam bidang kewangan antarabangsa. Di samping itu, beliau turut dilantik oleh ASEAN Secretariat yang beribu pejabat di Bangkok, Thailand bagi mengkaji Monetary and Fiscal Responses to the Recent Oil Price Shocks in ASEAN Countries.

 

Di peringkat kebangsan, beliau pernah beberapa kali memenangi Anugerah Penyelidik Cemerlang dan merupakan penerima Fellowship Naib Canselor, UPM pada tahun 2010. Di peringkat antarabangsa, beliau telah menerima anugerah Fulbright Scholar Award sebanyak dua kali (1997 dan 2007.Beliau juga pernah dianugerahkan sebagai MABBIM Scholar daripada Council for the National Language of Brunei Darussalam.

. 

 

Updated:: 23/06/2021

MEDIA SHARING

SCHOOL OF BUSINESS AND ECONOMICS
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397697777
0397696188
BVMbNYz~